Inovasi Nadi Kemajuan, Jayakan Aspirasi Malaysia Madani Dan Sabah Maju Jaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memperkukuh peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi.
Komitmen ini dizahirkan melalui sokongan terhadap penganjuran program berimpak tinggi seperti Grand Finale Sabah Festival of Ideas (SFOI) dan Ekspo Kecemerlangan Rekacipta (EXCOCIPTA) 2025.
Majlis Penutupan dan Penyampaian Anugerah program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapa Sakmud semalam.
Acara kemuncak yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu meraikan semarak semangat inovasi, kreativiti, dan daya cipta di bumi Sabah.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapa Sakmud menegaskan KPT mahu melihat lebih banyak hasil penyelidikan dan idea anak tempatan dikomersialkan serta dimanfaatkan secara meluas.
Beliau berkata, festival ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan ilmu dan kemampanan.
Program ini juga menyokong agenda Kerajaan Negeri Sabah iaitu Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada pemerkasaan modal insan dan penguasaan teknologi.
SFOI dan EXCOCIPTA 2025 merupakan kemuncak kepada siri pertandingan inovasi yang telah berlangsung di lima zon iaitu Keningau, Tawau, Sandakan, Kota Marudu, dan Tuaran.
KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UMS sebagai peneraju serta semua rakan strategik yang menjayakan festival ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.
- Last updated on .
- Hits: 62