YB Menteri Pendidikan Tinggi Terima Kunjungan Hormat TYT Emir Salim Yuksel, Duta Besar Republik Turkiye Ke Malaysia

YB Menteri Pendidikan Tinggi Terima Kunjungan Hormat TYT Emir Salim Yuksel, Duta Besar Republik Turkiye Ke Malaysia
English translation not available for this content.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi telah menerima kunjungan hormat oleh TYT Emir Salim Yuksel, Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia pada petang ini bertempat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

TYT Duta Besar Republik Turkiye telah menyatakan penghargaan Kerajaan Republik Turkiye di atas kehadiran YB Menteri Pendidikan Tinggi di Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 pada 1 hingga 3 Mac 2024 yang lalu di Antalya, Turkiye.

Di kesempatan yang sama, pihak Kerajaan Turkiye juga telah menyatakan hasrat untuk menawarkan lebih banyak biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian peringkat siswazah dan pasca siswazah di universiti-universiti terkemuka Turkiye.

Selain itu, pihak Kerajaan Turkiye juga telah memohon pertimbangan supaya lebih banyak program kedoktoran yang ditawarkan oleh universiti-universiti Turkiye diiktiraf oleh Malaysia.

Malaysia juga telah menyatakan kesudian untuk meneruskan kesinambungan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dengan Turkiye melalui program-program kolaborasi berimpak tinggi antara universiti-universiti kedua-dua negara terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, kejuruteraan ketenteraan dan maritim serta Bahasa Turki.

YB Menteri Pendidikan Tinggi juga telah melontarkan cadangan penubuhan Malaysian-Turkish Institute ditubuhkan di Malaysia bagi meneruskan kesinambungan hubungan dua hala yang cemerlang di kedua-dua negara.

TYT Duta Besar juga turut berbesar hati memanjangkan jemputan kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi untuk mengadakan lawatan kerja ke Ankara, Turkiye.

Hadir sama dalam sesi ini, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, JPT dan YBhg. Datin Noorazah Omar, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa. 

  • Last updated on .
  • Hits: 962
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.