YB Menteri KPT Rasmi PSH Excellence Pangkor, Buka Laluan Kemahiran dan Pendidikan Berterusan Warga Setempat

YB Menteri KPT Rasmi PSH Excellence Pangkor, Buka Laluan Kemahiran dan Pendidikan Berterusan Warga Setempat
English translation not available for this content.

25 Oktober 2026 | Pulau Pangkor, Perak

Perasmian Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH Excellence) Pangkor membuka peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan latihan kemahiran yang memenuhi keperluan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan, hospitaliti, kulinari, maritim dan keusahawanan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang hadir menyempurnakan perasmian, dalam ucapannya berkata penubuhan pusat itu menyediakan laluan alternatif kepada masyarakat yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti atau politeknik untuk memperoleh kemahiran praktikal dan membina kerjaya melalui inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Beliau berkata pendekatan pendidikan tinggi perlu berubah seiring perkembangan semasa dengan memberi ruang kepada masyarakat memperoleh kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan pekerjaan, memulakan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.

Menurut beliau, latihan yang ditawarkan perlu berasaskan keperluan sebenar komuniti, termasuk kemahiran membaiki dan menyelenggara enjin bot bagi memenuhi keperluan nelayan serta mengembangkan kepakaran tempatan dalam bidang maritim.

Selain membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan, PSH Excellence Pangkor turut menyediakan laluan pembelajaran berperingkat kepada peserta untuk meningkatkan kelayakan dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk di politeknik dan universiti teknikal, tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata pembangunan pendidikan di daerah Manjung turut dirancang menerusi cadangan penubuhan sebuah politeknik berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan sebuah kampus universiti, tertakluk kepada perancangan serta pelaksanaan kerajaan.

PSH Excellence Pangkor menyasarkan penyertaan antara 750 hingga 1,000 peserta setahun, dengan 75 peratus daripadanya disasarkan mengikuti program pensijilan profesional manakala selebihnya menyertai kursus pendek di bawah 22 kluster PSH.

Pusat itu beroperasi di bawah seliaan Kolej Komuniti Manjung dengan menawarkan kursus jangka pendek kepada masyarakat setempat dan peserta dari luar kawasan, selain menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi menyediakan latihan yang bersesuaian dengan keperluan pekerjaan serta potensi ekonomi Pulau Pangkor.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Seri Bijaya Leftenan Kolonel (B) Dato’ Shaharudin Haji Nazari.

Penubuhan PSH Excellence Pangkor dijangka menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat Pulau Pangkor dan daerah Manjung untuk meningkatkan kemahiran, mengembangkan perniagaan serta membina sumber pendapatan melalui latihan yang berkait rapat dengan aktiviti ekonomi setempat.

  • Last updated on .
  • Hits: 93
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 02 November 2026, 11:01:36.

sirim-logo