PULARA 2026 Bukan Sekadar Festival Seni, Malah Medan Membina Jati Diri Bangsa

24 Oktober 2026 | Manjung, Perak
Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) merupakan usaha memelihara identiti bangsa, membina jiwa masyarakat dan memastikan warisan budaya terus dihargai oleh generasi muda, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata pembangunan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu turut berteraskan budaya, warisan dan nilai kemanusiaan yang membentuk identiti bangsa.
“Bangsa bukan hanya tubuh yang berpijak di tanah, bangsa ialah jiwa yang tahu dari mana datangnya, budi yang tahu ke mana langkahnya dan seni yang menyalakan pelita di lorong ingatan,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan PULARA 2026 di Dataran MADANI, Seri Manjung, di sini, siang tadi.
Beliau berkata puisi dan lagu rakyat mencerminkan jiwa masyarakat, justeru generasi muda perlu menghasilkan karya berdasarkan pemikiran dan pengalaman sendiri dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan secara beretika sebagai alat penambahbaikan.
Menurut beliau, kepelbagaian budaya di Malaysia, termasuk warisan masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak, merupakan kekayaan negara yang mampu menjadi asas kepada persefahaman dan kehidupan bersama secara aman.
Beliau turut menekankan kepentingan interaksi antara masyarakat berlainan latar belakang, khususnya dalam kalangan pelajar antarabangsa, bagi membina kefahaman terhadap budaya masing-masing ketika dunia berdepan pelbagai cabaran geopolitik.
PULARA 2026 yang berlangsung selama tiga (3) hari dari 24 hingga 26 Oktober itu merangkumi 17 program utama dan 20 program turun ke kampung, antaranya persembahan puisi dan lagu rakyat, Festival Sajian, Titian Budaya, Seminar Peradaban Rumpun Melayu Antarabangsa (RUMIA), aktiviti kesukarelawanan serta program komuniti MADANI, selain menampilkan penglibatan budayawan, sasterawan dan artis tempatan serta antarabangsa.
Penganjuran tahun ini menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung dengan penyertaan lebih 2,000 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta lebih 100 orang pelajar antarabangsa dari 25 buah negara, selain memperluas penglibatan komuniti menerusi program anak angkat dan aktiviti kemasyarakatan di kampung sekitar Manjung.
PULARA yang diilhamkan pada 2010 ketika YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menjadi Menteri Besar Perak itu turut menyaksikan pelantikan Ketua Kampung PULARA serta peluncuran Bakti MADANI Mega: Titian Budaya, yang menghubungkan pelajar antarabangsa dengan komuniti setempat menerusi program anak angkat.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan (UPSI); Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan; serta Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
- Last updated on .
- Hits: 88
