YB Menteri Hadir Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian Di USIM & Rasmikan Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM

YB Menteri Hadir Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian Di USIM & Rasmikan Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkunjung ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) serta turut berkesempatan merasmikan Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

YBM bersama para ahli mesyuarat yang hadir telah membincangkan pelbagai perkara berhubung isu-isu berbangkit berkenaan pembangunan di Universiti-universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Ini bagi memastikan projek-projek pembangunan di institusi pendidikan tinggi dan pemantauan projek yang masih di Fasa Pelaksanaan Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12) berjalan lancar.

Sementara itu, bagi majlis perasmian Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM, pembinaannya menelan kos hampir RM50 juta dengan keluasan 316 ribu kaki persegi, didirikan melalui peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016.

Projek Pembangunan yang bermula pada 30 Ogos 2021 dan siap dibina pada 21 Januari 2024, secara rasminya telah beroperasi pada 4 Mac 2024 lalu.

Bangunan setinggi 10 tingkat ini menempatkan satu Dewan Utama, tiga Dewan Kuliah, 30 Bilik Tutorial, Makmal Komputer, Makmal Mikro Pengajaran, Bilik Multimedia, Bilik Sumber, Bilik Penterjemahan, Bilik Seminar, Bilik Interaksi Pelajar, Bilik Persatuan Pelajar, Bilik Pensyarah dan Pejabat Pentadbiran yang mampu memuatkan seramai hampir 2,200 pelajar dan 100 staf pentadbiran dan akademik.

Bangunan ini direka bentuk bercirikan nilai Islam yang mana keseluruhan susun atur bangunan telah dirancang berpandukan arah kiblat selari dengan konsep pembangunan dalam kampus induk USIM itu sendiri.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor (NC) USIM, Prof. Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani; semua NC/rektor UA dan; Pengarah-pengarah Pembangunan UA. 

  • Last updated on .
  • Hits: 436
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 July 2024, 03:08:48.

sirim-logo