YB Menteri Dan Timbalan Mulakan Tugas Di KPT

YB Menteri Dan Timbalan Mulakan Tugas Di KPT
English translation not available for this content.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi hari ini di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan mengimbas kad perakam waktu di lobi KPT pagi tadi.

Selain beliau, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut memulakan tugas rasminya pagi tadi.

Kehadiran YB Menteri dan Timbalannya telah disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian yang turut menjalankan fungsi sebagai Ketua Setiausaha KPT bersama-sama barisan pengurusan tertinggi serta warga kementerian.

Kesemua yang hadir turut mengaminkan bacaan doa sebagai memohon keberkatan dan keselamatan kepada pentadbiran baharu KPT ini.

YB Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan warga KPT di lobi serta bertemu dengan wakil media bagi menyatakan harapan dan amanat beliau sebagai teraju baharu sektor pendidikan tinggi negara.

Seterusnya, YB Menteri turut menerima nota serah tugas daripada mantan Menteri Pendidikan Tinggi iaitu YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya.

Usai pertemuan, beliau terus menghadiri taklimat pengurusan serta sesi perkenalan dengan pegawai kanan KPT, jabatan dan agensi.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, merupakan mantan Menteri Luar Negeri, manakala YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sebelum ini menggalas jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia. 

  • Last updated on .
  • Hits: 662
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 09 April 2024, 09:42:49.