Menteri Pendidikan Tinggi Kunjungi UPSI

Menteri Pendidikan Tinggi Kunjungi UPSI
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan Lawatan kerja ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pagi tadi.

Ketibaan beliau di perkarangan Scholar Suites disambut meriah oleh pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UPSI. Turut serta barisan kepimpinan pelajar dan ADUN Behrang, YB Salina Samsudin.

Beliau turut menghadiri taklimat berkaitan pertambahan kapasiti kolej kediaman iaitu salah satu inisiatif UPSI bagi membantu meringankan beban pelajar. Pertambahan ini juga adalah selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri yang berharap agar pihak universiti berupaya meringankan beban pelajar memandangkan kos sewa di luar jauh lebih mahal.

Pertambahan kapasiti kediaman ini meliputi 5,184 penginapan kepada 10,368 penginapan yang melibatkan kos sejumlah RM25.07 juta. UPSI juga menyasarkan peningkatan jumlah peratusan penginapan dalam kampus dari 34.53 % kepada 60. 2% menjelang tahun 2024. Untuk rekod, UPSI kini mempunyai seramai 21,582 orang pelajar yang aktif.

YB Menteri Pendidikan Tinggi turut mengambil kesempatan melawat Kolej Kediaman Ungku Omar dan Harun Aminurashid bagi meninjau ruang fasiliti untuk kemudahan pelajar selain turut melawat kafeteria di sekitar kampus yang menyediakan menu Rahmah.

Terdahulu, turut dibentangkan berkaitan perkembangan terkini Projek Kampus Teluk Intan. Pihak KPT dan JKR sedang dalam rangka kerja memastikan projek tersebut siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) En. Mohamad Azhan Md. Amir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPSI, Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli, serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1431
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.