YAB TPM Galak Mahasiswa Berani Bersuara, Wakil Penting Gagasan Pembangunan Negara

3 November 2026 | Alor Gajah, Melaka
Mahasiswa perlu memanfaatkan kebebasan bersuara untuk mengemukakan idea, pandangan dan kritikan membina terhadap dasar Kerajaan sebagai sebahagian daripada sumbangan kepada pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata siri pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebelum ini serta pemansuhannya kelak, telah memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan pendirian masing-masing, selagi tidak menyentuh isu agama, kaum dan institusi Diraja (3R).
Menurutnya, pandangan mahasiswa yang bernas perlu diberikan perhatian kerana golongan berkenaan merupakan antara generasi yang bakal menentukan hala tuju dan pembangunan negara.
Beliau berkata demikian pada Program Wacana Semarak Patriotisme Siri Kedua: Apa Khabar Mahasiswa? Patriotisme Diperkasa yang dihoskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah di sini hari ini.
YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid turut menggalakkan mahasiswa berani mengemukakan pandangan serta memanfaatkan sesi interaksi secara langsung dengan pemimpin bagi mendapatkan penjelasan mengenai dasar dan hala tuju negara.
Beliau berkata UiTM telah melahirkan lebih sejuta graduan yang menyumbang kepada pelbagai sektor, sekali gus mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai saluran penting mobiliti sosial dan pembangunan bakat negara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penyertaan pelajar dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) meningkat daripada kira-kira 120,000 kepada 597,000 orang pada 2026, manakala bilangan institusi yang menawarkan bidang itu bertambah daripada 1,398 kepada 1,998 di seluruh negara.
Beliau berkata Belanjawan 2027 menyediakan peruntukan RM8 bilion bagi ekosistem TVET, selain pelaksanaan TVET 2.0 yang memberi tumpuan kepada pendidikan TVET berkemahiran tinggi menjelang 2030 bagi menyediakan lebih banyak peluang kerjaya dan laluan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET kini mencapai 98.5 peratus, manakala UiTM turut menerima peruntukan RM500,000 bagi penubuhan Jabatan Teknologi Kuantum untuk meneroka bidang teknologi baharu.
Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan bantuan Care4U dan sesi interaksi secara langsung bersama mahasiswa serta dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Yamin Yasin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi; dan Rektor UiTM Cawangan Melaka, Dato' Prof. Ts. Dr. Haji Mohd Rasdi Zaini.
- Last updated on .
- Hits: 39
