KPT Mahu Pembangunan Bakat Wanita Berasaskan Merit, Bukan Sekadar Kuota

KPT Mahu Pembangunan Bakat Wanita Berasaskan Merit, Bukan Sekadar Kuota
English translation not available for this content.

3 November 2026 | Bandar Enstek, Negeri Sembilan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memperluas peluang kepimpinan wanita menerusi sistem pembangunan bakat yang berasaskan keupayaan, merit dan proses pemilihan yang adil, bukan sekadar memenuhi sasaran peratusan perwakilan dalam organisasi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata Malaysia mempunyai ramai wanita berkelayakan untuk memegang jawatan kepimpinan, namun institusi perlu menyediakan ruang, mengenal pasti bakat lebih awal serta membina laluan pembangunan yang membolehkan mereka bersedia memikul tanggungjawab lebih besar.

Beliau berkata pembangunan kepimpinan wanita perlu dilaksanakan secara inklusif dengan sokongan semua pihak tanpa mengira gender kerana kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung pada keupayaan individu, kebijaksanaan membuat keputusan dan kekuatan kerja berpasukan.

Menurut beliau, perwakilan wanita dalam kepimpinan pelapis universiti awam yang merangkumi jawatan dekan dan pengarah pusat telah mencapai 46 peratus, manakala perwakilan di peringkat kepimpinan tertinggi yang melibatkan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan jawatan setaraf berada pada 26 peratus.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif dalam penyertaan wanita di peringkat kepimpinan IPT, namun usaha perlu diteruskan bagi mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita di semua peringkat organisasi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Graduasi Program SheLeads 2026 yang meraikan 44 orang peserta daripada 20 buah universiti awam di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini pagi tadi.

Selain pembangunan kompetensi, beliau turut menekankan kepentingan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pementoran bagi membolehkan pemimpin mendapatkan perspektif baharu, menilai kelemahan diri serta memahami cabaran organisasi di luar lingkungan tanggungjawab masing-masing.

Program SheLeads 2026 memberi tumpuan kepada pembangunan potensi kepimpinan wanita melalui pendedahan kepada kepimpinan strategik, pembinaan keyakinan, pengukuhan kompetensi serta bimbingan profesional bagi menyediakan peserta memikul tanggungjawab lebih besar dalam institusi masing-masing.

Pelaksanaan program itu turut menekankan kepentingan sokongan institusi dalam menyediakan peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, sekali gus membina barisan pelapis kepimpinan wanita yang berkeupayaan menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

SheLeads 2026 merupakan program pembangunan kepimpinan nasional pertama seumpamanya yang dikhususkan kepada ahli akademik dan pentadbir wanita dalam sektor pendidikan tinggi, dengan pelaksanaan tiga (3) fasa merangkumi siri webinar dari Mac hingga Mei, latihan intensif secara bersemuka pada Jun serta sesi pementoran dan libat urus bersama pemimpin kanan industri dari Ogos hingga Oktober 2026.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Prof. Dr. Yvonne Lim Ai Lian; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Jackie Mah serta Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Women's Leadership University College (AWLUC), Prof. Dr. Sushila Chang.

  • Last updated on .
  • Hits: 37
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 05 November 2026, 11:12:08.

sirim-logo