UTeM Terus Semarakkan KPT Prihatin Di Bumi Melaka

UTeM Terus Semarakkan KPT Prihatin Di Bumi Melaka
English translation not available for this content.

YB. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bersama YAB. Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali, Ketua Menteri Melaka telah bersama-sama melancarkan program KPT Prihatin Tuah UTeM Sejahtera semalam.

Majlis anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem) tersebut menghimpunkan para penerima sumbangan inisiatif-inisiatif berteraskan semangat KPT Prihatin yang terdiri daripada para mahasiswa, pelajar asnaf dan wakil-wakil komuniti seluruh Melaka.

Antara inisiatif tersebut ialah penyerahan bantuan Program Anak Emas UTeM kepada 3 orang pelajar yang akan menerima pembiayaan pembelajaran dan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian mereka di situ yang merupakan hasil usaha Yayasan Canselor UTeM.

UTeM turut melancarkan aplikasi TUAH Care Food@Campus yang dijangka dapat memudahkan urusan agihan bantuan dan transaksi kira-kira 1,500 orang pelajar B40 mereka di bawah inisiatif Menu Siswa Keluarga Malaysia yang diperkenalkan KPT.

Turut sama di majlis tersebut seramai 50 orang pelajar IPT seluruh Melaka yang menerima tablet masing-masing sumbangan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB PM pada 3 September lalu.

Selain UTeM, PTPTN turut sama menyantuni Keluarga Malaysia Melaka melalui Sumbangan Akaun Simpanan SSPN Prime sejumlah RM 60,000 yang diperuntukkan bagi manfaat kira-kira 600 orang asnaf yang telah disampaikan kepada enam orang wakil kawasan di negeri tersebut.

Cakna dengan bencana banjir besar yang menimpa negara hujung tahun lalu, KPT malam tadi turut mengumumkan pelancaran Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin sebagai memperkasakan lagi aktiviti dan program kesukarelawanan yang dikendalikan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia agar lebih terancang dan teratur dalam membentuk kesiapsiagaan terbaik ketika khidmat mereka diperlukan pada bila-bila masa.

Bercakap kepada hadirin malam tadi, YB Menteri Pengajian Tinggi turut berkongsi makluman berkenaan inisiatif Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) yang bakal dilancarkan KPT tidak lama lagi dalam memfokuskan usaha membantu pelajar B40 menjadi individu pertama dalam keluarga mereka yang berjaya ke menara gading.

Dalam majlis itu juga, YB Menteri Pengajian Tinggi turut menyampaikan sijil kelulusan pendaftaran Universiti Melaka (UNIMEL) yang telah dinaik taraf daripada Kolej Universiti Islam Melaka kepada IPTS bertaraf Universiti kepada YAB Ketua Menteri Melaka selaku Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMEL.

  • Last updated on .
  • Hits: 4832
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 29 May 2024, 11:44:53.