USM Hos Malam Resepsi Malaysia-Türkiye, Warna Warni Budaya dan Gastronomi Tempatan Jadi Medium Diplomasi

29 April 2026 | Georgetown, Pulau Pinang
Warna warni budaya dan keunikan gastronomi tempatan yang pelbagai menjadi medium diplomasi pendidikan tinggi menerusi Majlis Resepsi Malaysia–Republik Türkiye: Malam Perkongsian dalam Pendidikan Tinggi yang berlangsung di Anjung Jannatun, Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.
Majlis berkenaan dianjurkan bersempena Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (Joint Committee, JC) Bagi Pendidikan Tinggi Malaysia–Republik Türkiye yang menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan mobiliti akademik.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed telah menyambut ketibaan delegasi Republik Türkiye yang diketuai oleh TYT Prof. Dr. Erol Özvar serta TYT Necmeddin Bilal Erdoğan.
Kehadiran delegasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperluas jaringan kerjasama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, khususnya dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran pelajar serta pembangunan bakat global.
Dalam pada itu, delegasi turut diraikan dengan hidangan tempatan termasuk durian yang dikenali sebagai Raja Buah, selain pelbagai juadah seperti cucur udang, pasembor dan kuih-muih Melayu yang memperkenalkan identiti kulinari Malaysia kepada tetamu antarabangsa.
Pendekatan santai melalui jamuan budaya tersebut berjaya mewujudkan suasana yang lebih mesra dan terbuka, sekali gus memperkukuh hubungan interpersonal antara pemimpin pendidikan tinggi kedua-dua negara di luar sesi mesyuarat rasmi.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh warga USM yang menampilkan tarian tradisional pelbagai kaum, sekali gus menggambarkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia.
Persembahan tersebut bukan sahaja menjadi tarikan utama pada malam berkenaan, malah memperlihatkan peranan universiti sebagai platform memperkasa diplomasi budaya dalam hubungan antarabangsa.
Lebih menarik, kehadiran ikon bola sepak antarabangsa, Mesut Özil, turut mencuri perhatian para jemputan yang hadir memeriahkan majlis.
Penganjuran resepsi tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan Malaysia–Republik Türkiye, malah menzahirkan komitmen bersama dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.
- Last updated on .
- Hits: 49
