Delegasi JC Malaysia-Türkiye Tinjau Potensi Teknologi Tempatan di ViTrox

28 April 2026 | Georgetown, Pulau Pinang
Usai sesi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Republik Türkiye pagi tadi, kesemua ahli mesyuarat telah dibawa ke ViTrox Technologies Sdn. Bhd. bagi melengkapkan agenda lawatan kerja rasmi mereka.
Dalam lawatan tersebut, rombongan yang diiringi oleh pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan wakil Türkiye itu telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ViTrox Technologies, Dato' Chu Jenn Weng serta barisan pengurusan syarikat.
Para perwakilan telah diberikan taklimat khas berkaitan kemajuan teknologi syarikat dan kemudiannya dibawa menyusuri sekitar kampus ViTrox bagi menyaksikan secara dekat proses operasi berteknologi tinggi yang dijalankan.
ViTrox Technologies Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat teknologi terkemuka yang diasaskan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, sekali gus membuktikan kebolehpasaran dan kualiti graduan universiti tempatan di persada antarabangsa.
Diasaskan pada tahun 2000, syarikat itu diterajui oleh alumni Universiti Sains Malaysia (USM) dan kini bergelar pemain utama global dalam industri peralatan pemeriksaan visi automatik (automated vision inspection) untuk sektor semikonduktor.
Di samping itu, sebagai sebuah syarikat berstatus multinasional yang lahir dari ekosistem pendidikan tinggi negara, ViTrox terus mengorak langkah mendahului inovasi teknologi dengan komitmen berterusan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Kejayaan syarikat tersebut bukan sahaja menyumbang kepada kerancakan industri teknologi negara, malah menjadi penanda aras kecemerlangan kepada institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan modal insan berteknologi tinggi masa hadapan.
- Last updated on .
- Hits: 52
