UPNM Cakna Mangsa Banjir Di Johor

UPNM Cakna Mangsa Banjir Di Johor
English translation not available for this content.

Memahami dan menjiwai keperitan serta rasa mawaddah kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan dan sokongan, seramai 90 orang sukarelawan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terdiri daripada 20 orang staf, 35 orang pelajar dan 35 orang PALAPES UPNM telah bersama dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023. Program pembersihan rumah-rumah terkesan banjir telah dilaksanakan di Daerah Segamat dan Daerah Kota Tinggi, Johor.

YBhg. Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah, Naib Canselor UPNM turut turun padang dan menyantuni penduduk terjejas banjir di Felda Medoi, Segamat. Beliau berkesempatan mengunjungi warga felda dan menyerahkan 100 Bakul Rahmah KPT-UPNM kepada Ketua Kampung untuk diagih-agihkan kepada mangsa terjejas.

Sementara itu di Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi, Johor, YBhg. Naib Canselor telah menyempurnakan Majlis Penyerahan 100 Bakul Rahmah KPT-UPNM kepada En. Mohamad Aidil, Pegawai Pejabat Khidmat Parlimen Kota Tinggi sambil disaksikan oleh En. Mohd Affendi Dullah, Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pendidikan Tinggi.

Program pasca banjir ini turut dihadiri oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Muhd Zuazahan Yahya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Pegawai-pegawai Kanan UPNM.
Semoga sikap kesukarelawan yang dilahirkan menerusi Leader of Characters akan menjadi peneraju kepada mahasiswa UPNM lain untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat yang ditimpa musibah.

  • Last updated on .
  • Hits: 3154
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 12 July 2024, 03:02:21.