Universiti MAHSA Lancar Pusat Persijilan Mikro, Sokong Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat KPT

Universiti MAHSA Lancar Pusat Persijilan Mikro, Sokong Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat KPT
English translation not available for this content.

24 Julai 2026 | Kuala Langat, Selangor

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menggariskan perubahan landskap pendidikan tinggi negara dengan universiti perlu berkembang sebagai institusi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang lebih anjal, inklusif dan responsif terhadap perkembangan teknologi serta keperluan industri, kata Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, perkembangan pesat kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI), automasi dan teknologi baharu menuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menyediakan pembelajaran berterusan supaya graduan dan tenaga kerja kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Menurut beliau, universiti tidak lagi hanya menyediakan graduan untuk pekerjaan pertama mereka, sebaliknya perlu menawarkan peluang kepada golongan bekerja dan masyarakat untuk memperoleh ilmu, meningkatkan kemahiran serta menyambung pengajian sepanjang hayat.

Beliau berkata, RPTM 2026-2035 turut mengangkat pendekatan pendidikan tinggi yang lebih fleksibel menerusi konsep perungkaian (unbundling), termasuk pembelajaran bersama industri, mobiliti antarabangsa, model 2 Tahun Universiti 2 Tahun Industri (2U2I) serta Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning, APEL).

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata, persijilan mikro (micro-credentials) bukan bertujuan menggantikan ijazah atau kelayakan akademik sedia ada, sebaliknya melengkapkannya dengan kemahiran khusus yang memenuhi keperluan industri, disokong jaminan kualiti serta kelayakan digital yang diiktiraf.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Persijilan Mikro (Micro-Credential Centre) Universiti MAHSA yang menawarkan pembelajaran fleksibel berasaskan industri kepada pelajar, golongan profesional dan individu yang ingin meningkatkan kompetensi sepanjang hayat.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu membuktikan kesediaan IPT swasta menyokong agenda nasional PSH menerusi program yang boleh digabungkan dengan kelayakan akademik sedia ada, selain disokong platform PSH berasaskan AI, Kolektif, yang menawarkan laluan pembelajaran diperibadikan serta penganugerahan lencana digital dan kelayakan digital yang boleh disahkan di peringkat antarabangsa.

YB Menteri berkata, kejayaan Malaysia menarik pelajar dari lebih 180 negara membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti pendidikan tinggi negara, sekali gus mengukuhkan aspirasi Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat di peringkat serantau.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun AI akan terus mengubah cara manusia bekerja, teknologi itu tidak akan menggantikan nilai integriti, kebijaksanaan, empati dan pertimbangan yang menjadi teras pembentukan graduan berakhlak serta pemimpin yang bertanggungjawab.

Selepas majlis perasmian, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry melawat beberapa kemudahan di Universiti MAHSA termasuk fasiliti akademik, pembelajaran dan latihan bagi meninjau ekosistem pendidikan yang menyokong pembangunan bakat serta agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; Pengasas merangkap Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah; serta Ahli Lembaga Gabenor Universiti MAHSA, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek.

  • Last updated on .
  • Hits: 38
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 27 July 2026, 04:02:59.

sirim-logo