Syarahan Umum KPT: Universiti Perlu Kekal Jadi Ruang Wacana Ilmiah Yang Terbuka

23 Julai 2026 | Putrajaya
Universiti perlu terus berfungsi sebagai medan pertemuan pelbagai gagasan yang membolehkan sarjana daripada latar belakang berbeza berinteraksi secara terbuka, saling menghormati dan berbahas secara ilmiah, tegas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata tradisi itu penting kerana perkembangan ilmu tidak berlaku secara terasing, sebaliknya lahir melalui dialog merentas sempadan, disiplin dan perspektif yang berbeza.
Menurutnya, universiti turut memikul tanggungjawab menyediakan ruang kepada perbahasan yang mencabar andaian sedia ada serta menggalakkan penelitian sejarah secara kritis dan jujur.
"Walaupun seseorang mungkin tidak bersetuju dengan semua pandangan yang dikemukakan, kesarjanaan yang serius mengajak kita berfikir secara kritikal, mempersoalkan andaian yang diterima umum dan menilai sejarah dengan kejujuran intelektual," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Syarahan Umum oleh Prof. Dr. Joseph A. Massad bertajuk Pembentukan Identiti Muslim di Era Globalisasi (Muslim Identity in a Globalised World) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) petang tadi.
Beliau berkata kebebasan akademik perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab intelektual melalui perbahasan yang berteraskan bukti, beradab dan menghormati perbezaan pandangan.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata pendekatan itu penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia yang mengutamakan sikap saling menghormati serta hidup bersama secara aman.
Beliau berkata atas semangat itulah menjadi asbab KPT menjemput Profesor Pengajian Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika dari Universiti Columbia, Amerika Syarikat itu berkongsi pandangan mengenai kolonialisme, Islamofobia dan representasi Islam dalam wacana global.
Sementara itu, Prof. Dr. Massad dalam syarahannya berhujah bahawa perdebatan mengenai identiti Islam, kepelbagaian dan multikulturalisme perlu difahami dalam konteks sejarah kolonialisme, hubungan kuasa global serta perkembangan politik antarabangsa, selain menggesa masyarakat menilai isu tersebut secara kritis berasaskan kajian ilmiah.
Sesi syarahan itu dikendalikan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, naib-naib canselor universiti awam, ahli akademik serta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
- Last updated on .
- Hits: 68
