UNIMAS Disaran Perkasakan Institut Biodiversiti Dan Pengajian Borneo
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan kerja rasmi bersama delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pagi tadi.
Ketibaan kali pertama beliau ke sini itu telah disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Naib Canselor UNIMAS, YBhg. Prof Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi serta warganya yang lain dengan upacara menanam anak pokok Bucida di Dataran Canselori UNIMAS.
Seterusnya beliau telah diberi taklimat berkenaan hala tuju, perancangan dan pencapaian UNIMAS sepanjang 30 tahun penubuhannya sebelum dibawa melawat ke pameran yang memaparkan penemuan dan produk inovasi UNIMAS di InnoTech Hub.
Dalam pertemuannya bersama para pengurusan UNIMAS, beliau berpuas hati dengan pencapaian universiti tersebut dalam menjayakan tujahannya yang berfokuskan pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar; kelestarian transformasi komuniti; serta teknologi maklumat, komunikasi dan teknologi kreatif.
Tambah beliau, pencapaian kolaborasi strategik antara UNIMAS dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang melibatkan pelbagai solusi serta projek pembangunan komuniti di negeri itu turut diharap dapat dibawa ke peringkat kebangsaan bagi menjayakan agenda-agenda nasional Kerajaan Pusat.
Selain itu, beliau turut menyarankan UNIMAS untuk memanfaatkan keunikan alam semula jadi yang ada di negeri Sarawak dengan menjadi peneraju penyelidikan biodiversiti bersama-sama institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan yang lain atas semangat keserakanan.
Malah, UNIMAS turut diseru untuk bekerjasama dengan universiti awam lain dalam memperkasakan Institut Pengajian Borneo (IPB) mereka supaya mampu diiktiraf sebagai pusat rujukan terbaik yang merekodkan sejarah, budaya dan alam semula jadi di Sarawak.
Sebelum mengakhiri lawatan, beliau telah turut dibawa meninjau ke tapak projek Hospital Pengajar UNIMAS yang sedang giat disiapkan dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2025 kelak.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 3625