TVET Jadi Fokus YB Menteri Pada Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe12

TVET Jadi Fokus YB Menteri Pada Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe12
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin hadir ke Dewan Rakyat hari ini untuk membentangkan Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini.

Pada sidang petang tadi juga, seramai 23 orang ahli Dewan Rakyat telah membahaskan isu serta mengusulkan cadangan masing-masing mengenai sektor pendidikan tinggi negara.

Antara topik penggulungan ialah berkaitan program TVET di politeknik; peluang pelajar ke IPT; cadangan pemfokusan dan pengenalan jurusan baharu di IPT; kebajikan dan kebebasan mahasiswa; serta semakan dasar dan aspirasi pendidikan tinggi negara.

Fokus utama penggulungan kali ini ialah berkaitan usaha KPT dalam merancakkan lagi agenda TVET negara yang merangkumi program Asasi TVET; laluan khas TVET di politeknik untuk golongan rentan seperti B40, OKU dan Orang Asli; inisiatif pemindahan kredit daripada politeknik ke universiti-universiti teknikal (MTUN); serta merancakkan jalinan kerjasama dengan pihak industri.

Selain itu, YB Menteri turut menegaskan bahawa KPT sedang menfokuskan usaha pendigitalan pendidikan politeknik untuk penggal kedua RMK 12 yang akan dijayakan melalui agenda POLI DIGITAL (2023-2027) bagi menjadikan rangkaian politeknik Malaysia sebagai pusat pengajian teknikal tercanggih, termaju serta dipacu suasana pembelajaran yang kreatif dan menyeronokkan.

Malah, selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan prinsip aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut sedang menimbang membuka laluan khas kepada para pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan maahad tahfiz termasuklah memperluaskan program Techno Huffaz yang kini dikendalikan hanya kepada tiga (3) politeknik seluruh negara.

Di akhir penggulungan, YB Menteri turut memaklumkan bahawa KPT akan mengadakan Hari Terbuka untuk orang awam dan semua pemegang taruh untuk mengambil peluang menilai dan memberi pandangan serta maklum balas kepada pelbagai perubahan dasar sektor pendidikan tinggi yang akan dilaksanakan kelak.

  • Last updated on .
  • Hits: 2277
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 12 July 2024, 03:02:21.