TVET Digital POLYCC Perkasa Pelan Pendigitalan KPT Di Politeknik Dan Kolej Komuniti

TVET Digital POLYCC Perkasa Pelan Pendigitalan KPT Di Politeknik Dan Kolej Komuniti
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meletakkan usaha pendigitalan sebagai satu daripada fokus utama kementerian sebagaimana dinyatakan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat Tahun Baharu 2023 beliau Januari lalu.

Pelan pendigitalan KPT sedia ada ini akan dilonjakkan dengan memfokuskan kepada pendigitalan total dalam semua aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatannya merangkumi kesediaan Infrastruktur dan Infostruktur.

Politeknik dan Kolej Komuniti tidak akan tertinggal dalam transformasi ini, ucap Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar ketika menyempurnakan Majlis TVET DIGITAL POLYCC anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di Politeknik Sultan Azlan Shah (IPSAS) pagi tadi.

Menurut beliau, pandemik COVID-19 telah banyak mengajar KPT untuk memastikan ketersediaan sektor pendidikan tinggi negara sentiasa terkehadapan dan mampan dari segi penerimagunaan teknologi terkini bagi memastikan proses perpindahan ilmu terus berlaku dalam apa jua keadaan.

Tambah beliau, "kementerian juga bakal memperkenalkan sistem pembelajaran secara hibrid dan anjal untuk setiap mahasiswa sebagai salah satu inisiatif dalam membantu kumpulan tersebut daripada terus terbeban dengan kos pengajian, selain mengupayakan kemudahan teknologi digital secara optimal'.

Selain itu, "pelancaran transformasi TVET DIGITAL POLYCC ini jelas membuktikan bahawa Politeknik dan Kolej Komuniti telah menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasa pendigitalan dan bersedia mengadaptasi teknologi baharu", ujar beliau.

Beliau berharap melalui transformasi TVET digital ini mampu menjadikan JPPKK melalui POLYCC kekal relevan selari perubahan teknologi baharu yang semakin pesat.

  • Last updated on .
  • Hits: 2993
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.