Tujuh Resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 Bawa Anjakan Daripada Akses Kepada Mobiliti

Tujuh Resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 Bawa Anjakan Daripada Akses Kepada Mobiliti
English translation not available for this content.

8 September 2026 | Kuala Lumpur

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima tujuh (7) resolusi Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 yang menggariskan anjakan agenda pendidikan Melayu dan Bumiputera daripada tumpuan terhadap akses kepada pembinaan keupayaan, mobiliti sosial dan pembangunan bakat.

Beliau yang merasmikan penutupan konvensyen itu berkata pendidikan perlu diukur bukan sekadar berdasarkan jumlah enrolmen, sijil dan kelayakan, tetapi sejauh mana ilmu yang diperoleh mampu meningkatkan keupayaan, kesepadanan kemahiran dengan pekerjaan, pendapatan serta penciptaan nilai.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata resolusi berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pendidikan, mobiliti sosial, pembangunan bakat serta pembinaan keupayaan generasi masa depan.

Tujuh (7) resolusi yang dipersetujui ialah:

1.Membangunkan Pangkalan Data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional bagi mengenal pasti jurang, mengukur kemajuan dan memastikan intervensi pendidikan dilaksanakan berasaskan bukti.

2. Melaksanakan Intervensi Awal Pendidikan dan Bersasar untuk kanak-kanak serta pelajar B40 dan M40 yang rentan melalui sokongan pemakanan, penguasaan 3M, peranti digital, bimbingan akademik dan sokongan psikososial.

3. Membangunkan Laluan Mobiliti Pendidikan dan Sosial Bersepadu melalui peningkatan kualiti sekolah, kompetensi guru serta pembangunan bakat STEM dan TVET hingga ke pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan pekerjaan.

4. Menjadikan UiTM sebagai ‘A Gold Mine’ dan Mengoptimumkan Graduan Bumiputera Profesional melalui Pelan Rasionalisasi, pendidikan fleksibel, transformasi digital dan kerjasama industri.

5. Merancang Agenda Perubahan Minda Bumiputera dengan memberi perhatian kepada kesediaan memikul tanggungjawab serta cabaran kemiskinan dan tekanan.

6. Memanfaatkan Alumni UiTM Kembali Menyumbang dengan menggembleng lebih sejuta alumni dalam bidang kepakaran, keusahawanan, kerjaya dan pelaburan.

7. Memastikan Rangka Undang-Undang Baharu yang Lebih Komprehensif bagi Menggantikan AUKU bagi memperluas autonomi universiti, kebebasan akademik  serta ruang mahasiswa bersuara dan berpersatuan dengan tanggungjawab, adab dan akauntabiliti.

Sementara itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata agenda pendidikan Melayu dan Bumiputera perlu bergerak daripada sekadar menyediakan akses kepada pendidikan kepada usaha memastikan ilmu yang diperoleh membina keupayaan serta membuka laluan lebih jelas kepada pendidikan tinggi, kemahiran dan pekerjaan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pendidikan bukan sahaja menghasilkan graduan, malah membentuk individu yang mempunyai kemahiran, daya saing dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta keperluan industri.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid turut menggariskan lima (5) misi menuju 2035, termasuk memastikan graduan memiliki kompetensi industri; memperluas peranan UiTM dalam bidang strategik; membangunkan infrastruktur ilmu digital Bahasa Melayu; mewujudkan Dana Wakaf Ilmu serta menggantikan AUKU dengan kerangka perundangan baharu yang menyokong autonomi universiti; kebebasan akademik; dan pembentukan mahasiswa berintegriti.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku Hala Tuju Pendidikan Bumiputera di Malaysia yang disunting oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bersama Setiausaha Konvensyen Pendidikan Melayu, YBhg. Datuk Dr. Khairul Anuar Azmi Mohamad.

  • Last updated on .
  • Hits: 77
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 10 September 2026, 09:59:34.

sirim-logo