Konvensyen Pendidikan Melayu 2026: Pendidikan Melayu, Bumiputera Perlu Beranjak Daripada Akses Kepada Pembinaan Keupayaan

Konvensyen Pendidikan Melayu 2026: Pendidikan Melayu, Bumiputera Perlu Beranjak Daripada Akses Kepada Pembinaan Keupayaan
English translation not available for this content.

8 September 2026 | Kuala Lumpur

Pendidikan Melayu dan Bumiputera perlu beranjak daripada tumpuan terhadap akses kepada pembinaan keupayaan, kompetensi dan daya saing agar generasi masa depan mampu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata ukuran kejayaan pendidikan tidak seharusnya terhad kepada jumlah pelajar yang memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), sebaliknya turut melihat sejauh mana mereka menguasai ilmu, kemahiran, teknologi dan keupayaan menyelesaikan masalah.

Beliau berkata peluang pendidikan yang semakin luas perlu diterjemahkan kepada mobiliti ekonomi yang lebih kukuh melalui peningkatan literasi, numerasi, pemikiran kritis, penguasaan bahasa dan kebolehpasaran graduan, selain usaha menangani jurang sosioekonomi serta akses kepada teknologi.

“Survival yang sebenar ialah survival keupayaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan hala tuju pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan “Pendidikan Melayu dan Bumiputera: Membina Masa Depan Bangsa, Mencorak Masa Depan Malaysia” di sini hari ini.

Dalam mendepani perubahan teknologi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry yang juga Pengerusi Konvensyen berkata kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan manusia berfikir dan belajar, manakala generasi muda perlu dipersiapkan dalam bidang berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan, robotik, tenaga baharu, aeroangkasa, bioteknologi dan keselamatan siber.

Beliau berkata anak Bumiputera perlu berkembang daripada pengguna kepada pencipta teknologi, penyelidik, pemilik harta intelek, pengasas syarikat dan pemimpin industri, dengan TVET dilihat sebagai salah satu laluan utama pembangunan bakat.

Sehubungan itu, katanya, penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, identiti dan peradaban perlu bergerak seiring dengan penguasaan Bahasa Inggeris serta bahasa tambahan sebagai jambatan kepada dunia, di samping memastikan pendidikan membentuk generasi berakhlak, berintegriti dan mempunyai keberanian moral.

Beliau berkata dasar afirmatif masih mempunyai rasional selagi wujud ketidakseimbangan struktur, namun matlamat akhirnya perlu menjurus kepada pemberdayaan, kecemerlangan dan kemandirian, bukannya kebergantungan yang berpanjangan.

Tiga (3) sesi forum pada konvensyen itu membincangkan cabaran pendidikan anak bangsa dalam kalangan keluarga B40 dan M40, peranan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam meneruskan agenda pendidikan Melayu dan Bumiputera serta hala tuju pendidikan tinggi negara termasuk pembaharuan berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), tadbir urus universiti, kebebasan akademik, pengupayaan mahasiswa, autonomi institusi dan akauntabiliti.

Konvensyen yang berlangsung hari ini akan melabuhkan tirai menerusi majlis perasmian penutup oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, petang ini, dengan resolusi yang dirumuskan daripada perbincangan konvensyen akan diserahkan kepada beliau untuk diangkat kepada Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim bagi tindakan selanjutnya.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata kecemerlangan pendidikan pada akhirnya perlu menghasilkan generasi yang berilmu, berkemahiran, beradab, beridentiti dan mampu mencipta tempatnya sendiri dalam ekonomi masa hadapan sebagai pencipta, peneraju dan pemilik masa depan Malaysia.

  • Last updated on .
  • Hits: 67
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 10 September 2026, 09:59:34.

sirim-logo