Transformasi Pendidikan Tinggi: KPT Tekankan Konsep 'Unbundling' Dan Anjakan TVET Kepada 'Minds-On'

Transformasi Pendidikan Tinggi: KPT Tekankan Konsep 'Unbundling' Dan Anjakan TVET Kepada 'Minds-On'
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini meletakkan konsep pemisahan atau 'unbundling' sebagai agenda kritikal dalam transformasi pendidikan tinggi bagi memastikan akses ilmu tidak lagi terikat semata-mata kepada kelayakan akademik konvensional atau segulung ijazah.

​Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa pendekatan ini adalah langkah strategik untuk mengiktiraf potensi individu yang pelbagai, sama ada melalui kecerdasan intelektual (IQ), kecerdasan emosi (EQ) mahupun kemahiran teknikal yang tinggi.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam sempena persidangan 'International Institute of Futures Studies Conference: Islam and The Emerging World Order' anjuran Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa (International Institute of Future Studies - IIFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berlangsung di ibu negara semalam.

​Menurut beliau, naratif lama yang melabelkan pelajar aliran vokasional sebagai golongan yang gagal dalam akademik perlu dihentikan serta-merta bagi membina ekosistem pembangunan bakat yang lebih inklusif dan progresif.

​Sehubungan itu, KPT sedang mempergiat usaha mengubah wajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan melakukan anjakan drastik daripada pendekatan sekadar 'hands-on' kepada 'minds-on' yang menuntut penggunaan daya fikir kritis.

​Jelas beliau, transformasi kepada 'minds-on' ini amat penting bagi melahirkan pekerja berpengetahuan atau 'knowledge workers' yang bukan sahaja mahir teknikal tetapi mampu beradaptasi dengan pantas dalam era ekonomi digital.

​Kementerian juga sedang meneliti semula struktur pengajaran di dalam bilik kuliah dan memikirkan kembali hubungan dinamik antara proses pengajaran dan pembelajaran agar ia kekal relevan dengan realiti pekerjaan masa hadapan.

​Beliau turut menekankan bahawa sistem pendidikan tidak seharusnya dilihat secara terpisah-pisah mengikut tahap, sebaliknya ia perlu berfungsi sebagai satu kesinambungan yang menyediakan setiap individu untuk memikul tanggungjawab besar dalam masyarakat.

​Langkah pembaharuan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada bakat yang tercicir dalam arus pembangunan negara melalui penyediaan laluan pendidikan yang lebih fleksibel dan pelbagai.

​Turut hadir Timbalan Menteri Agama, YB Senator Dr. Zulkifli Hassan; Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; dan Pengarah IIFS, Dr. Ziauddin Sardar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 161
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 13 December 2025, 00:02:22.

sirim-logo