TPM YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Rasmi Peluncuran FOI@Negeri, FOI@Perak

TPM YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Rasmi Peluncuran FOI@Negeri, FOI@Perak
English translation not available for this content.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Festival Idea Negeri (FOI@Negeri) dan Festival Idea Negeri Perak (FOI@Perak) 2025 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar semalam.

Majlis tersebut merupakan kesinambungan kepada kejayaan Festival Idea Putrajaya (FOI@Putrajaya) tahun lalu yang telah mendapat sambutan luar biasa di peringkat nasional, dan kini diperluas pelaksanaannya ke peringkat negeri bagi membina gelombang pemikiran nasional berasaskan ilmu serta inovasi.

Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia perlu menjadi pencipta naratif baharu dunia iaitu sebagai sebuah bangsa yang berani berfikir, mencipta dan memimpin kemajuan melalui kekuatan idea serta daya cipta anak muda.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa Festival of Ideas (FOI) ialah gerakan nasional yang menyatukan pemikir, penyelidik dan pelajar dalam satu ekosistem ilmu yang mendorong pembentukan masyarakat berfikir dan berinovasi.

Pada masa yang sama, beliau memuji usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah pimpinan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang telah menstrukturkan FOI sebagai platform nasional bagi mengarusperdanakan budaya ilmu, inovasi dan kreativiti.

Penganjuran FOI@Perak selama dua (2) hari sehingga esok turut diadakan serentak di beberapa buah Universiti Awam (UA) di negeri-negeri lain dengan pelbagai pengisian antaranya pameran kreativiti dan produk inovasi, persembahan kesenian dan kebudayaan, forum dan bengkel, aktiviti sukan, serta pertandingan dan cabaran untuk para pengunjung yang hadir.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menjelaskan bahawa sejarah tamadun manusia telah membuktikan bahawa kemajuan sesebuah negara berpaksikan kekuatan ilmu dan idea yang diterjemahkan melalui inovasi serta tindakan.

Beliau turut menambah bahawa FOI kini telah diangkat ke peringkat Kabinet, yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, menjadikannya agenda nasional yang diselaraskan merentas kementerian dan negeri.

Selain itu, festival berkenaan juga berfungsi sebagai medan menghubungkan masyarakat kampus dengan komuniti serta industri, sejajar dengan hasrat KPT untuk membina ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berimpak tinggi dan berdaya cipta.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, YB Tuan Khairudin Haji Abu Hanipah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPT, Dato’ Dr. Mohamad Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Azlinda Azman; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang menanggung kerja Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; serta Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNC/R UA) merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff. 

  • Last updated on .
  • Hits: 620
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 October 2025, 04:17:19.

sirim-logo