iFUTURE 2025: Himpun 1,000 Pemimpin Muda Antarabangsa, Jadi Pentas Dialog Strategik Bersama Pemimpin Tertinggi Negara
Generasi pemimpin muda masa hadapan diseru untuk memulihkan semula kepercayaan terhadap kemanusiaan dan memandu kemajuan teknologi berlandaskan nilai murni agar tidak tergelincir daripada landasan kebijaksanaan dan empati.
Seruan tersebut dizahirkan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan International Young Future Leaders Summit (iFUTURE 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YB Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Persidangan antarabangsa ini merupakan platform berinspirasi global anjuran KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Penganjurannya bermatlamat untuk membentuk jaringan kepimpinan pelajar dari dalam dan luar negara di samping memperkukuh keupayaan generasi muda untuk berdepan dengan cabaran masa hadapan.
Sidang kemuncak ini menghimpunkan seramai 1,000 orang pemimpin pelajar dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta organisasi belia yang meliputi 60 buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, China dan United Kingdom.
Perbincangan sepanjang tiga (3) hari persidangan ini akan dipandu oleh lima (5) fokus strategik utama merangkumi kesiapsiagaan belia dalam era Kecerdasan Buatan (AI), pembinaan negara, kesejahteraan digital, kesukarelawanan dan diplomasi antarabangsa.
Satu sesi forum peringkat menteri bertajuk "The Impact of Artificial Intelligence on the Future Workforce" turut dijadualkan bagi membincangkan kesan transformasi AI terhadap masa depan tenaga kerja yang akan menampilkan Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, dan Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Fadzil sebagai ahli panel.
Turut menjadi tumpuan ialah Forum 2 bertajuk "Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying" yang akan meneliti peranan belia dalam pembinaan negara dan daya tahan masa depan, dengan fokus terhadap isu buli serta pembentukan karakter nasional yang akan dibarisi oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, YB Dato' Sri Azalina Othman Said, sebagai salah seorang ahli panel.
Kemuncak persidangan ialah sesi dialog eksklusif "In Conversation With Prime Minister" bersama YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang akan membincangkan visi kepimpinan belia dan kemajuan negara dalam era kecerdasan buatan.
YB Menteri Pendidikan Tinggi akan menyempurnakan Majlis Penutupan iFUTURE 2025 pada 13 Oktober, yang turut menyaksikan pembentangan Deklarasi Belia sebagai suara rasmi para peserta kepada kerajaan.
Penganjuran iFUTURE 2025 adalah selaras dengan aspirasi KPT untuk melahirkan pemimpin pelajar berwawasan global sekali gus bersama-sama menyokong usaha kerajaan memperkukuh ekosistem kepimpinan belia dalam kerangka Malaysia MADANI.
- Last updated on .
- Hits: 670