SPPP, Kerjasama KPT-SSM Mudahkan Usahawan Siswa Tubuh Perniagaan
Hari ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal dan rakan sejawatnya di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh telah menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan kepentingan dan manfaat pendaftaran perniagaan dalam kalangan usahawan siswa.
MoU tersebut telah ditandatangani antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang diwakili oleh Ketua Pengarahnya, YBrs. Prof. Azlinda Azman; Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang diwakili Ketua Pengarahnya iaitu YBrs. Dr. Haji Mohd. Zahari Ismail; manakala SSM pula telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Datuk Nor Azimah Abd Aziz.
Bercakap kepada para hadirin yang terdiri daripada para Naib Canselor, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), wakil industri serta rakan media, YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan bahawa kerjasama ini akan lebih melengkapi usaha-usaha sedia ada yang telah dilaksanakan oleh KPT dalam mendorong pelajar untuk menjadi usahawan serta terlibat dalam perniagaan.
Menurutnya, MoU ini akan melibatkan tawaran kira-kira 116,000 slot pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar IPT dari golongan B40 dan sepenuh masa dengan peruntukan geran berjumlah RM7 juta di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) oleh SSM.
Justeru, beliau menyeru semua mahasiswa untuk merebut peluang ini, di samping menguar-uarkannya kepada rakan taulan yang lain di IPT masing-masing.
Tambahnya lagi, usahasama KPT dengan pihak luar dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif keusahawanan pelajar di kampus seperti SPPP ini bakal menjadi pelengkap serta pemudah cara dalam melahirkan usahawan siswa yang mampu bersaing di pasaran tempatan.
- Last updated on .
- Hits: 2710