Allahyarham Tun Dr. Ismail Tauladan Generasi Muda Perkasa Negara Bangsa

Allahyarham Tun Dr. Ismail Tauladan Generasi Muda Perkasa Negara Bangsa
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalannya, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal telah menghadiri Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr. Ismail al-Haj: Tunggak Perpaduan Negara yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka petang tadi.

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri merakamkan penghargaan atas sumbangan Allahyarham Tun Dr. Ismail sebagai seorang negarawan yang telah terlibat dalam sejarah awal kemerdekaan tanah air hinggalah ke watak penting yang berusaha keras dalam menyatupadukan semua kaum di Malaysia selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut beliau, personaliti Allahyarham yang tegas, berintegriti dan berjiwa rakyat, sangat dihormati oleh semua pihak pada ketika itu sehingga berjaya menyemai semangat keharmornian di seluruh pelusuk negara.

"Allahyarham menekankan keperluan negara ini diselamatkan dengan satu sikap terbuka untuk menerima semua warganegara dalam satu semangat kekeluargaan tulen", ujar beliau yang merujuk kepada isi ucapan Allahyarham Tun Dr. Ismail di Persidangan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sewaktu YAB Perdana Menteri bergelar pemimpin gerakan mahasiswa pada ketika itu.

Sempena menyambut bulan kebangsaan ke-66 tahun ini, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk kembali mengenang jasa dan sumbangan pejuang nasionalis seperti Allahyarham Tun Dr. Ismail dengan selayaknya bagi menghidupkan idealisme, mesej, serta suara keramat mereka tatkala membina asas kedaulatan negara.

Tambah beliau lagi, generasi muda kini perlu dipupuk supaya mempunyai idealisme yang sama seperti Allahyarham Tun Dr. Ismail serta mempunyai kehendak dan upaya yang kuat untuk membangun menolak kebejatan sosial, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

  • Last updated on .
  • Hits: 1600
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 24 June 2024, 18:57:36.