Sistem Terjemahan Berkuasa AI MyTranslate, Gabung Kepakaran UTM-ITBM

Sistem Terjemahan Berkuasa AI MyTranslate, Gabung Kepakaran UTM-ITBM
English translation not available for this content.

Masih di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024), Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) petang tadi.

Selari dengan perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), MoU tersebut antara lain menggariskan kerjasama yang menggabungkan kepakaran UTM dalam bidang AI dengan ITBM dalam pemilikan data penterjemahan untuk membangunkan sebuah mesin terjemahan pintar yang dijenamakan sebagai AI Powered Language Translation System (MyTranslate).

Projek yang dibangunkan dengan kos bernilai RM500,000 tersebut dijangka akan siap digunakan bermula tahun hadapan.

Menurut UTM, kerjasama ini akan mencakupi bidang pendidikan dan penyelidikan; penterjemahan dan kejurubahasaan; serta penerbitan buku yang melibatkan kedua-dua pihak dalam misi memperkasakan industri terjemahan dan perbukuan negara.

Melalui MoU itu juga nanti, sebuah Pejabat Satelit UTM-ITBM bakal ditubuhkan di kampus Johor Bahru dan akan berfungsi sebagai pusat terjemahan bahasa asing di Wilayah Selatan merangkumi program pelatihan bagi pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang penerbitan dan penterjemahan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Profesor Dr. Rosli Md Illia serta Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah telah menurunkan tandatangan mereka bagi mewakili organisasi masing-masing. 

  • Last updated on .
  • Hits: 430
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 July 2024, 03:08:48.

sirim-logo