Jawatankuasa Khas STEM KPT-KPM-MOSTI Ditubuhkan, Fokus Penetapan Hala Tuju Bermula Sekolah Ke IPT

Jawatankuasa Khas STEM KPT-KPM-MOSTI Ditubuhkan, Fokus Penetapan Hala Tuju Bermula Sekolah Ke IPT
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi STEM bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) petang semalam.

Mesyuarat yang dihadiri oleh YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan dan YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi antaranya bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM KPT-KPM-MOSTI yang akan memfokuskan kepada penetapan hala tuju STEM di peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi negara dan keperluan industri di samping merancang dan memantau inisiatif merentas kementerian bagi meningkatkan kemasukan pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

STEM adalah bidang yang merentas sektor dan perlu dilaksanakan secara kolektif melalui sinergi semua pihak yang terlibat dalam ekosistem STEM nasional.

Kebelakangan ini, isu-isu berkaitan cabaran dan kekurangan bakat dalam bidang ini hangat diperkatakan di peringkat nasional. Kerajaan memandang serius berhubung perkara ini lantaran bakat STEM memainkan peranan penting dalam memacu pengukuhan industri dan sektor ekonomi negara.

Selaras dengan agenda dan aspirasi ke arah negara berteknologi tinggi, YAB Perdana Menteri turut menggesa agar pendidikan STEM diperkasakan bagi memastikan pemacuan pembangunan ekonomi negara melalui bidang-bidang kritikal dan baharu seperti pendigitalan, robotik dan Kecerdasan Buatan (AI) dapat direalisasikan. Dalam hal ini, langkah-langkah strategi merentas Kementerian bagi meningkatkan jumlah pelajar, kualiti pendidikan STEM serta penawaran dan permintaan dalam sektor STEM perlu dilaksanakan segera bagi meningkatkan daya saing dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang selain pegawai kanan daripada ketiga-tiga Kementerian. 

  • Last updated on .
  • Hits: 633
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 July 2024, 03:08:48.

sirim-logo