Siri 2 Program Santuni MADANI KPT@KSB Berjaya Kutip 500 Kg Sampah Plastik

Siri 2 Program Santuni MADANI KPT@KSB Berjaya Kutip 500 Kg Sampah Plastik
English translation not available for this content.

Sejumlah 500 kilogram sampah pelbagai jenis plastik telah berjaya dikutip hasil gotong royong sukarelawan daripada lima Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negeri Melaka, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan komuniti Kuala Sungai Baru pada siri kedua program Santuni MADANI KPT@KSB pagi tadi.

Pogram khidmat bakti membersihkan pesisir pantai Kuala Sungai Baru yang diterajui Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang itu telah dijayakan bersama kira-kira 500 orang sukarelawan.

Terkenal sebagai destinasi riadah tepi pantai serta aktiviti nelayannya, lokasi ini dipilih bagi membantu mengindahkan persekitaran serta meningkatkan kesedaran masyarakat juga para pengunjung tentang pentingnya aktiviti pengumpulan dan pengurusan sampah.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menggunakan maklumat berat sampah program ini sebagai kajian berkenaan komposisi sampah yang terkumpul dan akan mengemukakan cadangan penyelesaian bagi mengatasi isu tersebut.

Inisiatif Santuni MADANI yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Mei lalu, memperuntukkan sebuah kampung angkat untuk dijaga oleh setiap pemimpin bagi mengenal pasti masalah sosioekonominya sekali gus menawarkan solusi kepada isu-isu yang sering berbangkit.

Secara tidak langsung, program ini juga dapat menghidupkan budaya gotong-royong serta menggalakkan pengunjung untuk terus datang ke kawasan pantai di Kuala Sungai Baru

Selain sukarelawan daripada KPT, gotong-royong tersebut turut dijayakan wakil Persatuan Permuafakatan Penduduk Islam Kuala Sungai Baru; serta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, Rosli Abdullah; serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. 

  • Last updated on .
  • Hits: 680
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 11 October 2024, 07:37:56.

sirim-logo