Sinergi Kementerian, IPT, Agensi Diseru Jayakan Perancangan Strategik Pendidikan Tinggi Negara

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah merasmikan Seminar Perancangan Hala Tuju (SPHT) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 di sini malam tadi.
Seminar tiga (3) hari ini menghimpunkan lebih 200 orang peserta melibatkan barisan pengurusan tertinggi Kementerian, Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) serta agensi di bawah KPT.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk Ts. Mustapha menekankan pentingnya seminar ini sebagai platform untuk menilai prestasi KPT tahun 2024, merangka strategi baharu dan mencadangkan program berimpak tinggi bagi tahun 2025.
Beliau juga menyentuh berkenaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang akan dilancarkan pada tahun hadapan dan menyifatkannya sebagai persediaan transisi dari pelan pendidikan sebelumnya.
Melalui PPTM 2025-2035 nanti, fokus KPT adalah untuk memenuhi keperluan bakat masa depan melalui 10 lonjakan strategik, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan yang unggul.
Justeru, beliau menekankan pentingnya sinergi antara kementerian, jabatan dan institusi untuk terus berkolaborasi dalam menjayakan perancangan strategik pendidikan tinggi negara tersebut.
Seminar malam tadi turut menyaksikan pembentangan pencapaian KPT sepanjang tahun 2024 yang telah disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian Pendidikan Tinggi (HEAD) KPT, Dr. Muhammad Farhan Irfan Mohd Nor.
- Last updated on .
- Hits: 329