Semarak Kampus UTM Angkat Budaya Ilmu, Bentuk Pemikiran Kritis Warga Universiti

Semarak Kampus UTM Angkat Budaya Ilmu, Bentuk Pemikiran Kritis Warga Universiti
English translation not available for this content.

3 Julai 2026 | Johor Bahru, Johor

Budaya membaca dan pemikiran kritis terus menjadi antara pengisian utama Program Semarak Kampus apabila Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, memimpin sesi bedah buku, Telaah bersama warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pagi tadi.

Pengisian yang menghimpunkan barisan pengurusan universiti, dekan, pensyarah, mahasiswa serta delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mengangkat budaya membaca, perkongsian ilmu dan dialog intelektual sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan tradisi keilmuan dalam komuniti kampus.

Dalam sesi tersebut, YB Menteri mengupas buku Third Millennium Thinking: Creating Sense in a World of Nonsense karya John Campbell, Robert J. MacCoun dan Saul Perlmutter yang mengetengahkan kepentingan pemikiran kritis dalam membantu seseorang membuat pertimbangan berasaskan fakta dan bukti, di samping mengelakkan kecenderungan terhadap bias serta maklumat yang mengelirukan dalam dunia yang semakin kompleks.

Beliau berkata warga universiti perlu membudayakan sikap sentiasa bertanya, menilai dan berfikir secara objektif kerana keupayaan membezakan antara fakta dengan persepsi serta membuat keputusan berasaskan bukti merupakan antara ciri penting seorang intelektual, pemimpin dan graduan yang mampu mendepani cabaran masa hadapan.

Menurut beliau, budaya membaca, berdiskusi dan mengupas karya ilmiah perlu terus disemarakkan sebagai amalan dalam komuniti kampus kerana tradisi ilmu yang kukuh bukan sahaja memperkayakan pemikiran, malah membentuk masyarakat yang berintegriti, berdaya saing dan tidak mudah dipengaruhi maklumat yang mengelirukan.

Terdahulu, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bersama barisan kepimpinan KPT dan UTM serta warga kampus turut menunaikan Solat Subuh berjemaah sebelum sesi Telaah, manakala Program Semarak Kampus diteruskan dengan pelbagai lagi pengisian termasuk lawatan sekitar kampus, aktiviti riadah dan sesi ramah mesra bersama warga universiti.

  • Last updated on .
  • Hits: 189
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 10 July 2026, 10:17:09.

sirim-logo