Program Turun Padang 'Semarak Kampus UTM' Dekatkan KPT Dengan Warga Universiti

3 Julai 2026 | Johor Bahru, Johor
"Kampus bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah menjadi medan untuk saling mengenali," ujar Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, ketika memulakan program turun padang Semarak Kampus UTM di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.
Program selama dua (2) hari itu menghimpunkan kepimpinan universiti, pensyarah, pegawai, kakitangan, mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam siri pengisian yang memberi ruang kepada warga kampus bertukar pandangan secara langsung dengan kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenai pelbagai isu berkaitan pendidikan tinggi, pembangunan kampus dan kebajikan mahasiswa.
Menurut beliau, universiti bukan hanya berfungsi sebagai institusi penyampaian ilmu, sebaliknya turut berperanan membentuk komuniti yang menggalakkan interaksi, perkongsian pengalaman dan pembinaan jaringan dalam kalangan warga kampus.
Katanya, interaksi yang terjalin dalam komuniti universiti menjadi antara asas penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, kemahiran insaniah serta pemikiran global.
YB Menteri berkata UTM kini menjadi destinasi pengajian kepada kira-kira 5,000 mahasiswa antarabangsa dari 86 negara, manakala Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia menerima kemasukan pelajar dari 180 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap mutu pendidikan tinggi negara.
Beliau turut menggalakkan warga universiti memanfaatkan kepelbagaian budaya dan latar belakang yang terdapat di kampus bagi memperluaskan jaringan antarabangsa, di samping menyertai pelbagai program pembangunan bakat dan kepimpinan anjuran KPT termasuk i-Future dan Festival of Ideas (FOI).
Menyentuh aspek kebajikan mahasiswa, beliau berkata kerajaan akan terus memastikan akses kepada pendidikan tinggi kekal inklusif melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan 10,000 tempat pengajian percuma kepada pelajar daripada keluarga eKasih yang pertama kali melanjutkan pengajian ke IPT.
Beliau berkata bantuan Care For You di bawah Yayasan Perkasa Siswa (YPS) serta usaha menaik taraf fasiliti universiti awam akan terus diperkasakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif dapat dinikmati seluruh warga kampus.
Program Semarak Kampus di UTM diteruskan sehingga hari ini dengan pelbagai pengisian termasuk sesi Telaah, aktiviti riadah, sesi ramah mesra bersama warga universiti serta tinjauan Menteri Pendidikan Tinggi ke beberapa lokasi sekitar kampus sebagai sebahagian daripada pendekatan KPT mendekati komuniti pendidikan tinggi secara lebih dekat dan menyeluruh.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM, Irfan Firdaus; serta barisan pengurusan tertinggi KPT dan UTM.
- Last updated on .
- Hits: 240
