Sektor Pendidikan Tinggi Nadi Penjalin 50 Tahun Hubungan China-Malaysia

Sektor Pendidikan Tinggi Nadi Penjalin 50 Tahun Hubungan China-Malaysia
English translation not available for this content.

Sektor pendidikan tinggi sentiasa menjadi nadi penting hubungan bilateral antara Malaysia dan China yang menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, jalinan kerjasama rentas sempadan yang sedia ada erat perlu terus diperkukuhkan lebih-lebih lagi di era dunia yang senantiasa berubah masa kini.

Beliau yang hadir ke Majlis Pelancaran Pertandingan Inovasi Belia Malaysia-China 2024 di Xiamen University Malaysia (XMUM) pagi tadi dalam ucapannya turut menghargai ketekalan Kerajaan China dalam memperkasakan sektor pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Usaha tersebut disokong dengan program-program mobiliti akademik serta komitmen kerjasama antara Kuala Lumpur-Beijing yang mencakupi bidang teknologi, kebudayaan, penyelidikan, serta pembangunan bakat dan kapasiti.

Tambah beliau lagi, hubungan erat kedua-dua negara turut menyokong Kementerian dalam mengangkat fokus Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Malaysia ke arena antarabangsa.

Beliau turut menyeru para pelajar yang menyertai pertandingan anjuran XMUM yang terdiri daripada Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta ini untuk merebut peluang serta menimba pengalaman yang ada.

Jelasnya, idea-idea yang disumbangkan golongan ini kelak mempunyai potensi besar membentuk industri, mentransformasikan komuniti, seraya memperkasakan generasi masa hadapan.

Hadir sama memberikan ucapan Menteri Pendidikan China, Huai Jinpeng; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Haji Mohammad Yusof Apdal; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; dan Presiden XMUM, Prof. Dr. Wang Ruifang. 

  • Last updated on .
  • Hits: 625
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.