KSU Terima Anugerah Tokoh SPAN, Iktiraf Sumbangan Dalam Industri Perkhidmatan Air

KSU Terima Anugerah Tokoh SPAN, Iktiraf Sumbangan Dalam Industri Perkhidmatan Air
English translation not available for this content.

Sumbangan dan kepakaran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam industri perkhidmatan air negara mendapat pengiktirafan apabila beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) malam tadi.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof bersempena Majlis Makan Malam dan penyampaian Anugerah Industri Perkhidmatan Air 2023 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Air Malaysia (MWA).

YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini yang juga merupakan pakar dalam bidang rawatan air dan sisa, merupakan figura penting dalam usaha pemulihan sungai dan konservasi air negara.

Melalui persatuan Sahabat Sungai Malaysia, beliau yang juga Presidennya turut menzahirkan usaha dan inisiatif dalam memugar kesedaran dan penghargaan kepada sumber air melalui pelbagai kempen dan aktiviti berbentuk kemasyarakatan.

Penganjuran majlis tersebut adalah serentak dengan program dwi-tahunan iaitu AsiaWater yang telah masuk kali ke-13 penganjurannya di Malaysia melibatkan 700 wakil pemain industri dari dalam dan luar negara.

Turut sama hadir meraikan pemenang dan pemain industri adalah Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Haji Mad Zaidi Mohd Karli, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAN serta Presiden MWA. 

  • Last updated on .
  • Hits: 639
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.