Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Kpt Semarak Budaya Hidup Aktif, Erat Kebersamaan Warga

Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Kpt Semarak Budaya Hidup Aktif, Erat Kebersamaan Warga
English translation not available for this content.

9 Oktober 2026 | Putrajaya

Sambutan Hari Sukan Negara yang diraikan di seluruh negara mencerminkan usaha menggalakkan budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat, termasuk warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selaras dengan sambutan kebangsaan itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat KPT di pekarangan bangunan KPT di sini pagi tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Kelab Sukan KPT bersama dengan Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT atas penganjuran program berkenaan serta menghargai penyertaan warga KPT, jabatan dan agensi yang bersama-sama menjayakan sambutan itu.

Sambutan itu menghimpunkan warga Kementerian, jabatan dan agensi menerusi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi bagi menggalakkan penyertaan dalam kegiatan fizikal serta mewujudkan suasana kebersamaan.

Pengisian program dimulakan dengan senamrobik sebelum diteruskan dengan karnival sukan yang menampilkan pertandingan ping pong, bola tampar, tarik tali lelaki dan wanita serta permainan rakyat.

Aktiviti sukan rakyat seperti boling kelapa dan timbang bola terbanyak turut mempelbagaikan pengisian sambutan, selain memberi peluang kepada peserta mengambil bahagian dalam pertandingan secara santai.

Penganjuran aktiviti secara individu dan berkumpulan itu turut menyediakan ruang kepada warga pelbagai jabatan dan agensi untuk berinteraksi serta menyemarakkan semangat kesukanan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.

  • Last updated on .
  • Hits: 81
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 10 October 2026, 05:53:59.

sirim-logo