Belanjawan Madani 2027: KPT Terima Rm19.1 Bilion, Reformasi Pendidikan Tinggi dan Kebajikan Mahasiswa Diberi Tumpuan

Belanjawan Madani 2027: KPT Terima Rm19.1 Bilion, Reformasi Pendidikan Tinggi dan Kebajikan Mahasiswa Diberi Tumpuan
English translation not available for this content.

9 Oktober 2026 | Parlimen, Kuala Lumpur

Bertemakan "Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi", Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim petang tadi menyaksikan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkat kepada RM19.1 bilion berbanding RM18.60 bilion untuk tahun 2026.

Bagi pihak KPT, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan Timbalannya, YB Tuan Adam Adli Abd Halim turut menghadiri pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) tersebut di Dewan Rakyat.

Belanjawan MADANI 2027 memberikan tumpuan kepada penambahbaikan prasarana pendidikan tinggi, kebajikan mahasiswa dan kemudahan kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam.

Sebanyak RM800 juta disediakan bagi menaik taraf prasarana universiti awam termasuk bilik kuliah, kediaman mahasiswa serta penggantian peralatan usang, manakala sumbangan orang ramai, alumni dan sektor korporat kepada universiti awam layak menikmati potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.

Bagi meringankan beban peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan mulai tahun 2027, manakala peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran minimum RM50 dengan langkah berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 400,000 orang peminjam.

Kerajaan turut menawarkan diskaun bayaran balik PTPTN sebanyak 10 peratus kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran secara teratur serta potongan cukai kepada majikan yang membayar balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028.

Dalam usaha menangani isu penginapan mahasiswa, projek Residensi Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dijadual siap pada tahun 2031 dengan kapasiti 10,000 orang mahasiswa, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM750 juta menerusi projek Vista Kampus bagi membina kediaman siswa di enam (6) universiti terpilih termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pada masa sama, Program Dapur Siswa MADANI akan diteruskan di Universiti Awam dan diperluas ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan peruntukan RM20 juta bagi menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga RM5.

Bagi membantu mahasiswa yang perlu menggunakan pengangkutan udara untuk pulang ke destinasi masing-masing, bantuan tiket penerbangan FLYSiswa MADANI 2027 turut dinaikkan daripada RM400 kepada RM500, sekali gus dijangka memanfaatkan lebih 60,000 orang penuntut IPTA.

Dalam pembentangan petang tadi juga, YAB Perdana Menteri turut menegaskan usaha Kerajaan membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), selain menghentikan serta-merta semua prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman.

Selain itu, universiti serta institusi TVET turut akan menyokong pelaksanaan Komuniti Angkat MADANI tahun hadapan menerusi penyediaan latihan kemahiran yang diperlukan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain kemudahan dapur bersama dan peralatan perniagaan bagi membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat.

Dalam aspek pengkomersialan penyelidikan, Kerajaan bersama KWAP akan mewujudkan Dana University-Industry Venture Capital (UNIVC) berjumlah RM50 juta bagi membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran, sekali gus membuka peluang kepada penyelidik IPT untuk mengembangkan inovasi tempatan.

Selain itu, Kolej Komuniti akan meneruskan penawaran kursus pendek kepada anak tahfiz sebagai laluan ke alam pekerjaan, keusahawanan dan pengajian tinggi.

Selaras dengan kejayaan kontinjen Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC) meraih 13 pingat pada FIRA RoboWorld Cup 2025 di Daegu, Korea Selatan, penganjuran kejohanan itu di Malaysia pada tahun 2027 diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda dan penyelidik tempatan untuk mengetengahkan inovasi robotik negara ke peringkat antarabangsa.

Dalam bidang kesihatan pula, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) akan dilengkapi teknologi pembedahan robotik bagi memperluas akses rawatan kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.

  • Last updated on .
  • Hits: 151
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 10 October 2026, 05:53:59.

sirim-logo