Ribuan Warga KPT Bersolidariti Terhadap Rakyat Palestin Di Axiata Arena, Bukit Jalil

Ribuan Warga KPT Bersolidariti Terhadap Rakyat Palestin Di Axiata Arena, Bukit Jalil
English translation not available for this content.

Ribuan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil semalam bagi menghadiri ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka’ untuk menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin.

Semangat yang ditunjukkan warga KPT yang rata-ratanya adalah pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/ IPTS) seluruh negara itu mencerminkan solidariti sejagat serta menjadi bukti nyata bahawa perjuangan membela Palestin terus mendapat dukungan padu daripada rakyat Malaysia.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memaklumkan bahawa pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan Gaza untuk bebas merdeka dari cengkaman dan penindasan rejim Zionis Israel.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) serta Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa pada pagi Rabu.

Beliau turut menggesa agar kesemua aktivis dibebaskan serta-merta, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.

Turut sama menghadiri himpunan berkenaan adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan serta pengurusan tertinggi Kementerian yang lain. 

  • Last updated on .
  • Hits: 402
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 October 2025, 04:17:19.

sirim-logo