PM Pakistan, TYT Shehbaz Sharif Dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah
Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyempurnakan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Perdana Menteri Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama (TYT) Muhammad Shehbaz Sharif, dalam satu Majlis Konvokesyen Khas yang berlangsung di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM) semalam.
Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi UIAM terhadap kepimpinan dan tadbir urus cemerlang TYT Muhammad Shehbaz Sharif dalam menerajui pembangunan negara berteraskan nilai Islam, kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Majlis Konvokesyen Khas itu diadakan bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia dari 5 hingga 7 Oktober 2025 yang turut memperkukuh hubungan Kuala Lumpur dan Islamabad dalam bidang pendidikan tinggi serta pembangunan modal insan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan penganugerahan berkenaan sebagai lambang penghargaan terhadap usaha memperkasa diplomasi pendidikan dan memperkukuh jaringan akademik antara kedua-dua negara Islam tersebut.
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kepimpinan dan Tadbir Urus itu dikemukakan oleh Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS), UIAM.
Pengiktirafan ini bakal memperkukuh reputasi UIAM sebagai universiti Islam bertaraf antarabangsa yang berperanan melahirkan pemimpin berwawasan global berasaskan ilmu, akhlak dan nilai Tauhid.
Majlis bersejarah ini turut menzahirkan komitmen Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi Islam antarabangsa yang berperanan memperkasa nilai keilmuan sejagat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Untuk rekod, seramai 89 orang pelajar dari Republik Islam Pakistan sedang menuntut di UIAM ketika ini, manakala 321 orang alumni Pakistan telah menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat antarabangsa.
KPT terus komited memperkukuh peranan Institusi Pendidikan Tinggi negara sebagai jambatan diplomasi ilmu serta memperluas kerjasama penyelidikan dan mobiliti pelajar dengan institusi antarabangsa.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil; Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; serta Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
- Last updated on .
- Hits: 459