Raja Permaisuri Agong Rasmi Festival Idea Putrajaya 2025, Sampai Titah Diraja
Penjiwaan nilai adab merupakan kompas asasi yang mesti memandu kemajuan dan inovasi dalam dunia yang semakin kompleks.
Prinsip teras ini telah dizahirkan menerusi Titah Ucapan Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku yang juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.
Dalam titah Diraja, KDYMM Seri Paduka Baginda menekankan bahawa adab adalah disiplin meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, yang menjadi asas kepada penegakan keadilan.
KDYMM Seri Paduka Baginda turut menyentuh cabaran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan media sosial, sambil menegaskan sebarang wacana mesti dilakukan dengan pemikiran teliti dan beradab.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku penganjur utama festival ini bermatlamat memposisikan Malaysia sebagai hab dinamik pendidikan tinggi dan penyelidikan, di mana penemuan dipandu oleh etika.
Inisiatif ini adalah selari dengan aspirasi KPT untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cekap, malah berhati nurani serta mampu mengimbangi kemajuan dengan kearifan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam sembah ucapannya menzahirkan penghargaan atas keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku yang menjadi sumber ilham warga pendidikan tinggi.
KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku kemudiannya berkenan mendengar dua sesi syarahan Syarahan Diraja yang disampaikan oleh sarjana terkemuka, Shaykh Prof. Dr. Hisham A. Hellyer dan Prof. Madya Dr. Khairudin Aljunied.
Turut berangkat menyerikan majlis ialah Yang Amat Mulia Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor UTM serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 449