Putrajaya FOI 2026: Sembilan Penyelidik Terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star 2026

Putrajaya FOI 2026: Sembilan Penyelidik Terima Anugerah Malaysia Scopus Research Star 2026
English translation not available for this content.

18 November 2026 | Putrajaya

Seramai sembilan (9) penyelidik tempatan menerima pengiktirafan menerusi Malaysia Scopus Research Star Awards (MRSA) 2026; manakala sejumlah jurnal akademik turut menerima Journal CRÈME Awards 2026 dalam majlis anugerah bersempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026 di sini malam tadi.

Anugerah berkenaan mengiktiraf pencapaian penyelidik dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti serta sumbangan penerbit dan sidang editorial dalam meningkatkan standard penerbitan ilmiah Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata kecemerlangan penyelidikan bukan sahaja dinilai berdasarkan jumlah penerbitan dan sitasi; malah perlu mengambil kira sejauh mana hasil penyelidikan memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Bagi MRSA 2026, penerima kategori Kecemerlangan Inovasi dalam Penyelidikan ialah Prof. Dr. Azrul Azlan Hamzah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan (STEM); serta Dr. Mohd Razip Bajuri dari Universiti Malaya (UM) bagi bidang Seni, Kemanusiaan dan Sains Sosial (AHSS).

Kategori Kecemerlangan Penyelidikan Awal Kerjaya pula dimenangi Dr. Ahmad Ilyas Rushdan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi STEM; dan Prof. Koay Kian Yeik dari Sunway University bagi AHSS, manakala kategori Kecemerlangan Penyelidikan Kelestarian diberikan kepada Prof. Wan Azlina Wan Abd Karim dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut menerima pengiktirafan ialah Prof. Foo Hooi Ling dari UPM dan Dr. Helena Muhamad Varkkey dari UM bagi kategori Kecemerlangan Wanita dalam Penyelidikan; serta Prof. Raja Affendi Raja Ali dari Sunway University dan Prof. Madya Dr. See Kok Fong dari Universiti Sains Malaysia (USM) bagi kategori Perintis Cemerlang.

Sementara itu, Journal CRÈME Awards 2026 bagi kategori Jurnal Berpotensi mengiktiraf Journal of Computing and Social Informatics (Universiti Malaysia Sarawak); ZULFAQAR Journal of Defence Science, Engineering & Technology (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia); dan International Journal of Innovation and Business Strategy (UTM), manakala kategori Pemartabatan Bahasa Melayu mengiktiraf Sains Malaysiana (UKM) serta Jurnal Bahasa (Dewan Bahasa dan Pustaka).

Bagi kategori MyCite, enam (6) jurnal menerima pengiktirafan iaitu Journal of Informatics and Web Engineering (Multimedia University); Journal of Science and Technology (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia); Journal of Surveying, Construction and Property (UM); International Journal of Industrial Management (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah); Journal of Technology Management and Business (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia); serta Malaysian Online Journal of Educational Sciences (UM).

Dalam kategori Scopus, enam (6) jurnal turut menerima pengiktirafan iaitu Malaysian Applied Biology; Journal of Science and Mathematics Letters; Malaysian Journal of Fundamental and Applied Sciences; Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance; Al-Shajarah: Journal of the International Institute of Islamic Thought and Civilization; serta Malaysian Journal of Music.

Dalam ucapannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menggalakkan lebih banyak politeknik dan kolej komuniti menerbitkan hasil penyelidikan gunaan serta membangunkan jurnal akademik melalui kerjasama dengan universiti dan industri; selain menekankan kepentingan standard editorial, penilaian rakan sebaya dan integriti akademik dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Regional Vice President, Solution Sales APAC Elsevier, Jessica Low; serta Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar.

“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”

  • Last updated on .
  • Hits: 13
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 19 November 2026, 08:33:17.

sirim-logo