Putrajaya FOI 2026: Kolej Komuniti Perluas Peluang Masyarakat Tingkat Kemahiran

19 November 2026 | Putrajaya
Pembelajaran sepanjang hayat terus membuka peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan kemahiran, menambah pendapatan dan meneroka sumber ekonomi baharu menerusi penawaran latihan oleh Kolej Komuniti di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim berkata, peluang mendapatkan pendidikan dan latihan kemahiran tidak seharusnya terhenti selepas seseorang menamatkan pengajian kerana keperluan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sentiasa berkembang mengikut perubahan semasa.
Beliau berkata, 106 buah Kolej Komuniti di seluruh negara mempunyai kemudahan yang boleh dimanfaatkan masyarakat untuk mengikuti pelbagai latihan, termasuk bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan lebih baik atau memulakan perniagaan sendiri.
Menurut beliau, program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan politeknik dan kolej komuniti merekodkan 350,786 penyertaan pada 2025, manakala Kolej Komuniti mencatatkan lebih 4.2 juta penyertaan secara kumulatif sejak 2022, termasuk lebih 86,000 penyertaan pada 2026.
Antara bidang yang mendapat sambutan ialah katering dan sajian, komputer dan teknologi maklumat, grafik dan multimedia, seni kreatif serta perniagaan dan keusahawanan yang menawarkan kemahiran untuk kegunaan pekerjaan mahupun kegiatan ekonomi sendiri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik dan Garis Panduan TVET Collaboration Hub (TCH) serta Bingkisan Pembelajaran Sepanjang Hayat Kolej Komuniti Edisi Ketiga bersempena Festival Idea Putrajaya 2026 (Putrajaya FOI 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata TCH diwujudkan bagi menghubungkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan industri, agensi Kerajaan dan komuniti supaya kepakaran, teknologi serta kemudahan latihan dapat dikongsi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan perlu melangkaui memorandum persefahaman dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan latihan bersama, perkongsian teknologi dan pembukaan peluang pekerjaan kepada pelajar berdasarkan keperluan sebenar industri.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merentas Kementerian menerusi Belanjawan 2027, selain menyasarkan 35,000 peluang pekerjaan baharu melalui inisiatif Bakat MADANI tahun hadapan.
Selaras dengan Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti 2026–2035, JPPKK menyasarkan penyertaan 500,000 pembelajar setahun menjelang 2035, merangkumi pengajian formal dan pembelajaran sepanjang hayat.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Ts. Dr. Azmi Mohd Yunus dan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Haji Ulaimi Yahya serta barisan pengarah politeknik dan kolej komuniti, wakil industri dan rakan strategik.
“Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani"
- Last updated on .
- Hits: 12
