Putrajaya FOI 2025: Transformasi Pendidikan Tinggi Jadi Fokus Utama Bentuk Masa Depan Berdaya Tahan
Keperluan mendesak untuk membentuk masa depan yang berdaya tahan melalui transformasi pendidikan menjadi satu daripada fokus utama penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025.
Perkara tersebut telah dibicarakan pagi tadi menerusi Forum Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi (Minesterial Forum) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut menjadi platform strategik bagi membincangkan hala tuju dunia pasca-2030.
Diserikan dengan kehadiran oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, beliau dalam ucaptamanya menegaskan bahawa pendidikan mesti membina kapasiti daya tahan dengan memupuk pemikir kritis, warganegara berempati, dan inovator yang berani.
Selari dengan pandangan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menekankan bahawa misi KPT bukan sekadar mengajar teknologi, tetapi memupuk nurani.
Beliau menyatakan bahawa dalam era Kecerdasan Buatan (AI), persoalan utama adalah sejauh mana kebijaksanaan manusia dapat dibentuk, bukan hanya kepintaran mesin.
YAB Timbalan Perdana Menteri menambah bahawa Malaysia sedang menerapkan literasi AI dan kefasihan digital merentasi sistem pendidikan untuk memastikan peralihan digital yang berteraskan manusiawi.
Fokus KPT adalah untuk melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga menjadi warganegara yang beretika, berdaya tahan, dan berempati.
Penganjuran festival ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengubah aspirasi kepada pencapaian melalui ekosistem pendidikan tinggi yang mampan.
Forum bertemakan 'Dari Pengetahuan kepada Hasil: Pemerkasaan Kerjasama Pendidikan Tinggi' tersebut telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Republik Indonesia, TYT Prof. Brian Yulianto; Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (CHED) Filipina, TYT Dr. Shirley Castaneda Agrupis; serta Pengarah Institut Pembangunan Inklusif dan Kemajuan Malaysia (MINDA-Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof. Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 537