AKRI 2025: KPT Pacu Kurikulum, Pedagogi Fleksibel Untuk Pendidikan Kalis Masa Depan
Pembudayaan pendekatan dan budaya baharu dalam reka bentuk pendidikan tinggi amat penting bagi merealisasikan penyediaan pendidikan berkualiti yang holistik.
Bagi mengiktiraf usaha proaktif Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025 yang telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir semalam.
Dalam amanatnya, Menteri Pendidikan Tinggi merakamkan penghargaan kepada ahli akademik yang cakna terhadap perubahan semasa bagi memastikan kurikulum dan pedagogi kekal relevan dengan keperluan industri.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menggesa warga pendidik untuk mahir dalam kaedah pedagogi baharu seperti 'immersive learning' dan penggunaan AI, yang disifatkan sebagai satu revolusi pedagogi di universiti.
AKRI 2025 menyaksikan seramai 17 orang pemenang telah dinobatkan dalam enam (6) kategori yang dipertandingkan, dengan juara menerima hadiah wang tunai RM10,000, trofi, dan sijil.
Kategori tersebut merangkumi Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pentaksiran Alternatif, Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya, Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun, dan Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka.
Ts. Dr. Hamzah Asyrani Sulaiman dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Dr. Dzeti Farhah Mohshim dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah dinobatkan sebagai Johan bersama Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif.
Penganjuran AKRI 2025 adalah sebahagian dari program yang dirancang sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025, yang juga merupakan anjuran KPT.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Presiden UTP selaku hos AKRI 2025, Ir. Mohamed Firouz Asnan; ketua-ketua agensi di bawah KPT; serta Naib-naib Canselor IPT.
- Last updated on .
- Hits: 672