Program Launchx, Sinergi IPT dan Industri Perkasa Ekosistem Keusahawanan Mahasiswa Negara

Program Launchx, Sinergi IPT dan Industri Perkasa Ekosistem Keusahawanan Mahasiswa Negara
English translation not available for this content.

24 April 2026 | Subang Jaya, Selangor

Agenda pemerkasaan keusahawanan mahasiswa terus menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berfungsi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negara berteraskan inovasi dan teknologi.

Komitmen tersebut dizahirkan melalui pelaksanaan Program LaunchX 2025/2026 yang telah disempurnakan penutupannya oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian di Sunway University semalam.

Program tersebut dianjurkan secara kolaboratif antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sunway University sebagai platform pemecut pemula niaga (startup accelerator) mahasiswa yang berfokus kepada pembangunan keusahawanan berimpak tinggi.

Sebanyak 122 pemula niaga melibatkan 282 orang mahasiswa daripada 33 buah IPT telah berjaya dibangunkan sepanjang tempoh program dianjurkan.

Pelaksanaan LaunchX menyokong aspirasi nasional untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pemula niaga utama global menjelang tahun 2030, selain turut selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 serta Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2026–2030 yang menekankan pembentukan pelajar berdaya tahan, adaptif dan berfikiran keusahawanan.

Sepanjang tempoh enam (6) bulan pelaksanaan, peserta telah melalui latihan intensif termasuk modul pembangunan perniagaan, bimbingan industri dan pembentangan idea melalui Demo Day dengan 15 pemula niaga terbaik telah dipilih ke peringkat akhir yang menampilkan solusi inovatif merangkumi sektor seperti kecerdasan buatan, agritech, fintech, edutech dan teknologi hijau.

KPT menegaskan bahawa program seperti LaunchX berperanan penting dalam merapatkan jurang antara akademik dan industri serta mempercepatkan proses komersialisasi idea mahasiswa, selain juga dilihat sebagai penyumbang signifikan kepada ekonomi negara memandangkan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Melalui pendekatan holistik, program tersebut bukan sahaja melahirkan graduan yang kompetitif malah berupaya mencipta peluang pekerjaan melalui penubuhan syarikat pemula.

Malah, KPT optimis bahawa akan lebih banyak syarikat terbitan dan pemula niaga bertaraf global dapat dilahirkan daripada ekosistem pendidikan tinggi negara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunway Education, Dato’ Prof. Elizabeth Lee; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; dan Provost merangkap Timbalan Naib Canselor Sunway University, Prof. Abhimanyu Veerakumarasivam. 

  • Last updated on .
  • Hits: 21
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 April 2026, 08:22:27.

sirim-logo