Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib Dilantik TNC (Akademik Dan Antarabangsa) UPM Yang Baharu
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 11 Ogos 2025 di pejabatnya siang tadi.
YBrs. Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib memiliki latar belakang akademik dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa dan mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran universiti serta pernah menyandang beberapa jawatan utama seperti Pengarah Pusat Jaminan Kualiti, Timbalan Pengarah Pusat Strategi Komunikasi Korporat, Timbalan Dekan (Akademik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Kejuruteraan dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM.
Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat di sektor industri sebagai Pengurus Besar di Malaysian Industry - Government Group for High Technology (MIGHT) dan Ketua Pegawai Operasi di Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) yang menguruskan projek-projek berkaitan industri aeroangkasa.
Kepakaran Prof. Ir. Dr. Abd Rahim dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa turut diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pernah menyandang jawatan sebagai Presiden South East Asia Network on Aerospace Engineering dan Timbalan Presiden Malaysian Society for Engineering and Technology.
Kementerian yakin pengalaman dan prestasi cemerlang beliau ini mampu memperkukuhkan peranan UPM sebagai pusat kecemerlangan ilmu seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 1563