MQA Awards 2025 Iktiraf Kecemerlangan Kualiti Pendidikan Tinggi Negara

Kualiti pendidikan tinggi kini menjadi tuntutan utama bagi memastikan daya saing dan kelestarian pembangunan negara selari dengan Aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035).
MQA Awards 2025 yang diadakan buat julung-julung kali semalam menjadi wadah penting mengiktiraf kecemerlangan akademik, inovasi dan tadbir urus seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa usaha menjamin kualiti pendidikan tinggi bukan lagi pilihan tetapi kewajipan dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu bertindak responsif, inovatif dan strategik dalam menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut beliau lagi, MQA tidak boleh sekadar menjadi penetap piawaian kelayakan kebangsaan sebaliknya mesti berperanan sebagai pemacu inovasi, penjana bakat dan pembina modal insan berdaya tahan yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global.
Beliau turut mengumumkan buat pertama kali Malaysia memperkenalkan TVET Aras Tinggi di peringkat Sarjana dan Kedoktoran melalui kelulusan Master of Professional Practice dan Doctor of Professional Practice pada Aras 7 dan 8 Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) yang membolehkan graduan TVET melanjutkan pengajian ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pula berkata, majlis ini merupakan platform strategik yang selari dengan aspirasi pelan berkenaan di samping memperkukuh pengiktirafan antarabangsa terhadap kelayakan Malaysia.
Beliau memaklumkan pencapaian MQA merangkumi perluasan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (Mutual Recognition Agreement, MRA) dengan negara seperti China, United Kingdom dan Australia; pengiktirafan melalui rangkaian global seperti Asia Pacific Quality Network serta International Network for Quality Assurance Agencies in Higher Education; dan pelaksanaan MQF Edisi Kedua bermula 1 Ogos 2026.
MQA Awards 2025 mengiktiraf pencapaian cemerlang merentasi semua sektor IPT termasuk universiti awam, swasta, Politeknik, Kolej Komuniti, kolej swasta dan institut latihan awam dengan kategori yang direka bagi memberi impak berterusan kepada pembangunan modal insan negara.
Antara penerima utama Anugerah semalam ialah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang menerima Anugerah Utama Jaminan Kualiti; manakala Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Dalam Negara) diberikan kepada Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; dan Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Luar Negara) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Jaminan Kualiti Pendidikan Tinggi (QAA), United Kingdom, Vicki Stott.
Penganjuran ini menjadi simbol penghargaan negara terhadap semua institusi yang menjadikan kualiti sebagai budaya bukan sekadar memenuhi syarat akreditasi di samping menjadi pemangkin budaya kecemerlangan yang mampan di IPT.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Pengerusi MQA, Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang; dan wakil kepimpinan IPT, tokoh akademik serta rakan industri.
- Last updated on .
- Hits: 1012