PPTM 2026-2035: KPT Bersedia Lakar Sejarah Baharu Lonjak Transformasi Ekosistem Pendidikan Tinggi

PPTM 2026-2035: KPT Bersedia Lakar Sejarah Baharu Lonjak Transformasi Ekosistem Pendidikan Tinggi
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia melakar sejarah baharu menerusi peluncuran Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 yang bakal memacu lonjakan transformasi besar dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Muncul sebagai tetamu di program Selamat Pagi Malaysia TV1 pagi tadi, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim mengesahkan bahawa pelan strategik itu digubal dengan memberi tumpuan khusus kepada dua teras utama iaitu Aspirasi Bakat Negara dan pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh.

Dokumen tersebut dirangka secara komprehensif untuk mencetuskan anjakan paradigma daripada sekadar melahirkan pencari kerja kepada penghasilan bakat pembina negara (nation-builders) yang berinovasi, berdaya saing serta mampu mencipta peluang pekerjaan.

Pelan tersebut turut bermatlamat memperkukuh sinergi gerak kerja antara universiti awam, politeknik, dan kolej komuniti agar bergerak sederap di bawah satu bumbung ekosistem yang lebih efisien dan bersepadu.

Bagi menjamin kelangsungan agenda pembangunan modal insan negara, peluncuran pelan tersebut akan dilaksanakan secara serentak dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu diterajui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Langkah bersepadu tersebut merupakan manifestasi jelas hasrat YAB Perdana Menteri yang mahukan sistem pendidikan negara dilihat sebagai satu entiti yang 'seamless', saling melengkapi dan tidak bergerak secara terasing.

KPT menyuarakan keyakinan bahawa pelaksanaan pelan tersebut mampu memacu Malaysia ke arah menjadi hab kecemerlangan pendidikan tinggi yang disegani serta menjadi rujukan di peringkat serantau dan global.

Majlis peluncuran kedua-dua dokumen strategik tersebut yang akan dikenali sebagai Pelan Pendidikan Negara akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pada 20 Januari depan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 73
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 23 January 2026, 09:07:53.

sirim-logo