PMX Rasmi iFUTURE 2026, Himpun 1,231 Mahasiswa dari 60 Negara

12 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (International Young Future Leaders Summit, iFUTURE 2026) yang menghimpunkan 1,231 mahasiswa dari 60 negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober 2026 bertemakan “Mentakrif Semula Kepimpinan Masa Hadapan Berteraskan Nilai” (Redefining Future Leadership with Values).
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa mahasiswa bukan sekadar pemimpin masa hadapan, sebaliknya turut memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa kini yang berperanan membentuk masyarakat dan hala tuju negara.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya berani menyuarakan pandangan, mempertahankan prinsip serta menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa demi memastikan kepimpinan yang berintegriti dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk berfikir secara kritis, membuat pertimbangan secara rasional dan mengemukakan pandangan berasaskan hujah yang kukuh.
YAB Perdana Menteri turut menekankan kepentingan mengimbangi penguasaan ilmu dan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum, dengan nilai kemanusiaan, keadilan serta integriti dalam mendepani perubahan dunia.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa memanfaatkan pertemuan antara budaya dan jaringan antarabangsa bagi memperluas perspektif, memahami perbezaan serta membina kerjasama yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya berkata, kepimpinan masa hadapan perlu dibentuk melalui penguasaan kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, komunikasi serta literasi digital dan kecerdasan buatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kepimpinan mahasiswa perlu diseimbangkan dengan nilai empati, daya tahan, integriti dan tanggungjawab sosial agar mereka mampu membuat keputusan yang mengambil kira kepentingan masyarakat.
Penganjuran iFUTURE 2026 menyediakan ruang kepada mahasiswa tempatan dan antarabangsa untuk bertukar-tukar pandangan serta pengalaman melalui sesi dialog dan forum, di samping membina jaringan rentas budaya yang dapat memperluas pemahaman tentang kepimpinan dalam konteks global.
Dalam majlis yang sama, hadirin turut menyaksikan penyampaian dua (2) pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu “Penyertaan Paling Ramai dalam Permainan Batu Seremban Secara Serentak” dan “Penyertaan Paling Ramai dalam Acara Explorace” yang dicapai oleh para peserta di KL iFUTURE Explorace 2026 (KLiX2026).
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Hj. Aminuddin Hassim; Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias; serta barisan pemimpin universiti dan wakil komuniti akademik.
- Last updated on .
- Hits: 75
