iFUTURE 2026: KLiX2026 Jadi Acara Suai Kenal, Sasar Dua Rekod MBOR

iFUTURE 2026: KLiX2026 Jadi Acara Suai Kenal, Sasar Dua Rekod MBOR
English translation not available for this content.

11 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Edisi ketiga Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (International Young Future Leaders Summit atau iFUTURE 2026) memperkenalkan KL iFUTURE Explorace 2026 (KLiX2026) buat julung-julung kalinya sebagai aktiviti suai kenal (ice breaking) yang menggabungkan eksplorasi bandar, cabaran berkumpulan dan permainan tradisional.

Berlangsung pagi tadi, program itu membawa peserta meneroka Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam dengan mengikuti laluan berbeza bagi menyelesaikan cabaran yang ditetapkan sebelum berkumpul semula di Padang Merbok.

Pendekatan tersebut memberikan peluang kepada mahasiswa tempatan dan antarabangsa mengenali warisan serta budaya ibu negara, di samping membina kerjasama dan hubungan persahabatan menerusi pengalaman bersama di luar suasana persidangan formal.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang.

Hadir menyerikan program ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Ts. Dr. Noraisah Spahat.

KLiX2026 turut menjadi medan percubaan mencatatkan dua (2) rekod Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu “Penyertaan Paling Ramai dalam Permainan Batu Seremban Secara Serentak” dan “Penyertaan Paling Ramai dalam Acara Explorace”.

Kedua-dua percubaan rekod itu menggabungkan elemen permainan tradisional dengan aktiviti eksplorasi bandar yang melibatkan penyertaan mahasiswa dari pelbagai negara.

iFUTURE 2026 berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan penyertaan 1,231 orang mahasiswa dari 60 buah negara bagi membina jaringan persahabatan serta berkongsi pengalaman sebagai pemimpin muda.

  • Last updated on .
  • Hits: 50
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 12 October 2026, 07:35:25.

sirim-logo