PM Rasmi Sambutan Jubli Perak PTPTN

PM Rasmi Sambutan Jubli Perak PTPTN
English translation not available for this content.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah menghadiri Majlis Sambutan 25 Tahun Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) yang telah dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri bertempat di MATRADE, Kuala Lumpur petang tadi.

PTPTN yang ditubuhkan pada tahun 1997 telah menawarkan pembiayaan pendidikan tinggi bagi membantu para pelajar dalam menanggung kos perbelanjaan pengajian mereka di IPT.

Selain itu, PTPTN turut menawarkan pelbagai produk simpanan lain seperti SSPN PRIME dan SSPN Plus yang direka khusus bagi membantu para ibu bapa menyimpan demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.

Di majlis tersebut, YAB Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif terbaharu PTPTN iaitu Kelab Simpanan Pendidikan yang bertujuan bagi meningkatkan literasi kewangan dan semangat menabung di kalangan kanak-kanak sedari bangku sekolah lagi.

Sebagai permulaan, sebanyak 13 buah sekolah di lima buah negeri telah berdaftar untuk menjadikan Kelab Simpanan Pendidikan PTPTN sebagai salah satu kelab atau persatuan kokurikulum di sekolah.

Perdana Menteri turut mengumumkan kembali inisiatif pengecualian bayaran balik pinjaman kepada kepada para peminjam PTPTN tanpa mengira status ekonomi, bangsa dan agama yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama bermula tahun 2019.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu PTPTN sepanjang 25 tahun penubuhannya dan berharap agar kerjasama yang telah dimeterai dapat dipertingkatkan lagi bagi memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara.

Majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian anugerah oleh YAB Perdana Menteri kepada Tokoh Peminjam PTPTN iaitu Achmad Noorasyrul Noortaip serta para penerima anugerah Tokoh Keluarga Malaysia-PTPTN iaitu Amin Yusop, Liew Pov Lan dan Tanalatchumy Kandan.

Turut hadir Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah, Ketua Polis Negara, Datuk Mohamad Haji Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, Apli Yusoff, Pengerusi PTPTN, serta Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

  • Last updated on .
  • Hits: 5009
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.