Penganjuran Sulung URIIS 2026 Catat 120 Libat Urus, 84 Peluang Kerjasama dan Potensi Pelaburan RM24 Juta

23 September 2026 | Kuala Lumpur
Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (University Research and Innovation Investment Summit – URIIS) 2026 yang julung-julung kali diadakan mencatatkan unjuran potensi pelaburan RM24 juta menerusi 120 sesi libat urus bersama industri dan pelabur yang menghasilkan 84 peluang kerjasama industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pencapaian itu perlu diteruskan melalui tindakan susulan yang jelas supaya potensi yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada pelaburan sebenar, projek perintis, pelesenan teknologi dan produk untuk pasaran.
Beliau berkata, URIIS 2026 turut menghasilkan 26 dokumen kerjasama merangkumi memorandum persefahaman (MoU), memorandum perjanjian (MoA) dan surat hasrat (LOI), sekali gus menunjukkan perkembangan awal hubungan antara universiti, industri dan pelabur.
Menurut beliau, lebih 200 teknologi berpotensi untuk pelaburan yang diketengahkan sepanjang URIIS perlu dinilai berdasarkan keupayaan menyelesaikan keperluan sebenar industri, permintaan pasaran, prestasi, penjimatan kos dan potensi untuk dikembangkan.
Beliau berkata, hasil penyelidikan tidak seharusnya terhenti pada penerbitan, paten atau prototaip sebaliknya perlu bergerak kepada penyelesaian yang disahkan, projek perintis, produk komersial dan penggunaan sebenar.
Dalam hubungan itu, beliau menggesa universiti memperluas kerjasama melalui Industri Dalam Kampus (Industry On Campus, IOC), makmal bersama (joint laboratories), makmal hidup (living laboratories) dan kilang pengajaran (teaching factories) bagi menyediakan ruang pengujian teknologi dalam persekitaran sebenar serta membolehkan industri menilai penyelesaian yang dibangunkan.
Katanya, penyelidik juga memerlukan sokongan dalam aspek pengesahan pasaran, harta intelek (intellectual property), penetapan harga, kawal selia dan hubungan dengan pelabur supaya teknologi yang berpotensi mempunyai laluan yang lebih jelas ke arah pengkomersialan.
URIIS 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 September di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menghimpunkan 20 universiti awam dengan mengetengahkan lebih 200 teknologi dalam bidang termasuk keterjaminan makanan, penjagaan kesihatan, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI), semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi hijau.
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry berkata, angka yang direkodkan itu merupakan hasil awal yang perlu diterjemahkan melalui kerjasama susulan antara universiti, industri dan pelabur, dengan kejayaan sebenar URIIS diukur berdasarkan pelaburan yang diperoleh, teknologi yang dilesenkan, projek perintis (pilot projects) yang dilaksanakan serta penyelesaian yang berjaya memasuki pasaran.
Majlis penutupan URIIS 2026 petang tadi menandakan berakhirnya penganjuran sulung sidang kemuncak berkenaan yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama 20 universiti awam, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT) bertindak sebagai sekretariat utama.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari; Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu; wakil kedutaan; pengurusan universiti; penyelidik; rakan industri dan pelabur.
- Last updated on .
- Hits: 652
